Melaka mudahkan poligami, kelulusan permohonan dipendekkan kepada 21 hari - Exco | Madani News

Melaka mudahkan poligami, kelulusan permohonan dipendekkan kepada 21 hari – Exco

Melaka mudahkan poligami, kelulusan permohonan dipendekkan kepada 21 hari – Exco

KERAJAAN Melaka mempermudah urusan bagi orang Islam yang ingin berpoligami apabila tempoh kelulusan untuk tujuan berkenaan dipendekkan kepada 21 hari.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata perkara itu adalah satu pembaharuan dibuat kerajaan negeri, dengan kerjasama Mahkamah Syariah Melaka.

“Sekiranya permohonan poligami ini dibuat dan mencukupi semua syarat, dalam tempoh 21 hari dah dapat kelulusan untuk berpoligami.

“Kalau dulu sampai berbulan-bulan, tapi sekarang kita dah buat penambahbaikan (apabila permohonan boleh diluluskan) dalam tempoh 21 hari, dengan syarat dokumen lengkap,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Melaka hari ini.

Dalam pada itu, Rahmad berkata orang ramai tidak dibenarkan untuk bernikah secara sindiket kerana ia akan memberi masalah kepada mereka pada masa hadapan.

Beliau berkata pernikahan secara sindiket amat sukar untuk didaftarkan dan memberi impak kepada anak-anak apabila tidak dapat dibinkan dengan nama bapa.

“Akhirnya anak-anak ini akan susah untuk bersekolah dan juga bekerja pada masa akan datang. Jadi janganlah sama sekali nikah secara sindiket,” katanya.

– BERNAMA