Pemain golf muda 16 negara bersaing rebut tiket ke Amerika Syarikat | Madani News

Pemain golf muda 16 negara bersaing rebut tiket ke Amerika Syarikat

Pemain golf muda 16 negara bersaing rebut tiket ke Amerika Syarikat

PEMUDA muda dari 16 negara yang akan berkampung di Malaysia untuk menyertai Kejohanan Golf Malaysia US KIDS 2024 perlu mendapatkan skor 140 ke bawah untuk layak ke kejohanan dunia di Pinehurst, Utara Carolina, Amerika Syarikat Julai depan.

Pengarah Eksekutif Sports Excel, C. Sivanandan berkata, skor itu dikira bagi dua daripada tiga pusingan perlawanan yang akan diadakan di Kelab Golf Country Glenmarie, Shah Alam pada 9 hingga 11 April ini.

Katanya, kejohanan yang diadakan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bertujuan untuk mencungkil bakat pemain muda selain memberi peluang kepada mereka untuk merebut tiket ke AS.

“Seramai 77 peserta berusia antara lima hingga 18 tahun daripada 16 buah negara akan menyertai kejohanan di sini.

Daripada jumlah itu, 50 peratus adalah pemain tempatan manakala 50 peratus lagi terdiri daripada pemain golf dari luar negara.

“Ia merupakan pembangunan akar umbi sukan golf Malaysia. Ia dapat menggalakkan pemain muda ke luar negara untuk bertanding supaya boleh mendapatkan biasiswa sukan daripada AS bagi menampung karier dan akademik mereka,” katanya pada pemberita baru-baru ini.

Menurut Sivanandan, Kejohanan Golf Malaysia US KIDS yang mendapat penajaan utama daripada Mazda merupakan pusingan akhir bagi Jelajah Tempatan U.S Kids Golf Malaysia yang bermula tahun lepas.

Tambahnya, kejohanan itu juga ibarat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia melibatkan ibu bapa yang akan menemani mereka di atas padang sama ada bertindak sebagai penyokong atau kedi.

Antara negara yang menghantar wakil termasuk Korea (17), Indonesia (12), India (7), China (6), AS (6), SIngapura (5), Thailand (4), Australia (3), Jepun (2) dan Filipina (2).

Kejohanan tiga hari akan berlangsung di Kelab Golf Glenmarie dari 9 hingga 11 April ini. – MADANI NEWS