Penyanyi Yasin bebas: Mahkamah Rayuan batalkan hukuman penjara, sebatan

KOMPOSER dan penyanyi Yasin Sulaiman dibebaskan daripada semua tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi terhadapnya sebelum ini.
Panel tiga hakim diketuai Che Ruzima Ghazali bersama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin sebulat suara membatalkan sabitan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin.
Namun, Mahkamah Rayuan memutuskan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Yasin, 50, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh diperkenan Sultan Selangor, memetik laporan FMT.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menolak laporan oleh saksi pertama pembelaan, pakar psikiatri forensik Hospital Bahagia Dr Ian Lloyd Anthony, dengan alasan ia adalah dengar cakap.
“Setelah kami buat pertimbangan dan meneliti bukti yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa keterangan yang dikemukakan saksi pembelaan (Dr Ian Lloyd Anthony) bukanlah dengar cakap.
“Ini kerana laporan perubatan dan keterangan oleh Anthony diasaskan pemerhatian terhadap perayu secara terus,” kata Che Ruzima.
Mahkamah juga berkata hakim perbicaraan membuat dapatan berkaitan isu kewarasan undang-undang tetapi tiada perincian berkaitan dapatan atas isu itu.
“Ini menimbulkan persoalan bolehkah dapatan itu diusul hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.
Che Ruzima juga berkata Yasin tidak membuat kenyataan kosong bahawa dia mengalami masalah bipolar disorder.
“Terdapat laporan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Hospital Pantai mengesahkan perayu sememangnya mengalami masalah berkaitan bipolar disorder dan masalah tersebut dikesan sejak 2007 hingga 2013.
“Terdapat keterangan menyatakan perayu diberikan ubat ubatan untuk mengatasi masalah bipolar disorder,” katanya.
Yasin diwakili peguam veteran, Hisyam Teh Poh Teik, manakala Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha bertindak bagi pihak pendakwaan.
Pada 22 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap penyanyi Mimpi Laila itu selepas disabitkan atas tiga kesalahan berkaitan dadah.
Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebas dan melepaskan Yasin pada 2023.
Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa Yasin tidak berada dalam keadaan waras ketika ditangkap pada 24 Mac 2022, walaupun dia sedar akan tindakannya, dan memerintahkannya dihantar ke Hospital Bahagia untuk rawatan.
Yasin didakwa pada Mac 2022 atas pertuduhan memasukkan ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’, komponen aktif utama dalam ganja, ke dalam tubuhnya.
Dia juga didakwa memiliki 193.7g ganja dan menanam 17 pokok ganja di rumahnya di Kota Damansara.
Ketiga-tiga pertuduhan itu difailkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.