Perbicaraan tertangguh lagi, mahkamah benarkan rayuan AG – “Perjuangan hak saya seolah-olah cuba dinafikan” – Najib

SATU lagi tamparan buat perjuangan keadilan Datuk Seri Najib Razak apabila Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Peguam Negara untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengesahkan kewujudan Titah Adendum Diraja berhubung tahanan rumah beliau.
Keputusan ini membawa makna perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang sepatutnya membela hak Najib sekali lagi ditangguhkan – menambah derita dan penantian yang sudah mencecah 15 bulan sejak Titah Diraja dikeluarkan pada 29 Januari 2024.
Najib dalam kenyataannya pagi ini meluahkan rasa amat kecewa dan sedih dengan keputusan tersebut, menyifatkan bahawa perjuangannya untuk mendapatkan keadilan berdepan halangan demi halangan, seolah-olah hak beliau untuk dibela di mahkamah cuba dikuburkan.
“Jika Mahkamah Persekutuan memihak kepada Peguam Negara, maka perjuangan saya untuk menuntut hak saya yang dijamin Perlembagaan akan terkubur,” katanya.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara di Mahkamah Persekutuan hari ini berkata persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh AG memenuhi syarat ambang untuk kebenaran diberikan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Najib turut mengingatkan bahawa bukan sahaja Mahkamah Rayuan, malah Istana Pahang dan Perdana Menteri sendiri sebelum ini telah mengakui kewujudan Titah Adendum yang membenarkan beliau menjalani hukuman dalam tahanan rumah.
“Namun keadilan terus dinafikan, dan saya dipaksa menunggu dan menunggu, entah sampai bila,” luah beliau.
Rayuan di Mahkamah Persekutuan telah ditetapkan pada 1 hingga 2 Julai 2025.
Sebelum itu, ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan bekas perdana menteri kecewa dengan penangguhan pendengaran berhubung dakwaannya tentang kewujudan dokumen tambahan itu yang membenarkannya menghabiskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
AG memfailkan permohonan itu bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit.
Sementara itu, Shafee berkata dia dan Najib masih tidak faham dengan tindakan kerajaan berdolak-dalik dalam isu titah adendum.
“Kita juga tahu perdana menteri (Anwar Ibrahim) sendiri dengan tegas sekali dalam dua ucapannya telah mengatakan bahawa adendum tambahan ada tetapi bukan di tangannya sekarang, tapi ada dalam tangan orang lain.
“Kalau ada adendum, saya dan anak guam saya tak faham kenapa ada dolak-dalik. Isunya ada atau tidak, sama ada ia sah atau tidak itu isu lain.
“Kenapa tak bagi adendum itu ke bicara (di mahkamah), kenapa sorok?” dakwanya lagi.
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah kerana menyalahgunakan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews