PRK Ayer Kuning: Zahid gembira 10 PDM Ayer Kuning kini kembali ke pangkuan BN | Madani News

PRK Ayer Kuning: Zahid gembira 10 PDM Ayer Kuning kini kembali ke pangkuan BN

PRK Ayer Kuning: Zahid gembira 10 PDM Ayer Kuning kini kembali ke pangkuan BN

AYER Kuning kembali menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) apabila 10 daripada 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini tewas pada PRU 2022, kini beralih semula kepada BN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kemenangan ini sebagai lebih manis kerana ia membuktikan rakyat mula kembali menyokong kestabilan dan kepimpinan berwibawa.

“Daripada 11 PDM yang kita tewas sebelum ini, kini 10 sudah kembali ke pangkuan BN. Ini bukti rakyat menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang boleh diharap,” katanya dalam satu hantaran di platform X.

Zahid, yang juga Pengerusi BN, berkata kemenangan calon BN, Yusri Bakir, menjadi isyarat kukuh bahawa kerajaan perpaduan diterima baik rakyat kerana keupayaan mentadbir negeri dengan cekap.

Beliau turut mengaitkan kemenangan ini sebagai kesinambungan legasi bekas Adun Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, yang sebelum ini banyak menabur bakti di kawasan itu.

Tidak lupa, Zahid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera BN, terutamanya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan rakan-rakan parti dalam kerajaan perpaduan yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.

Dalam keputusan rasmi, Yusri menang dengan kelebihan 5,006 undi, mengalahkan dua pencabarnya — Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Keputusan penuh:

  • Yusri Bakir (BN) – 11,065 undi
  • Abd Muhaimin Malek (PN) – 6,059 undi
  • KS Bawani (PSM) – 1,106 undi

Walaupun peratusan keluar mengundi kali ini mencatatkan 58.07%, ia tetap membuahkan hasil manis untuk BN berbanding 74.85% pada PRU 2022.

Sekadar imbasan, pada PRU 2022 lalu, Ishsam Shahruddin mempertahankan kerusi Ayer Kuning dengan kelebihan 2,213 undi dalam saingan lima penjuru sebelum BN dan PH membentuk kerajaan perpaduan. – MADANI NEWS