Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri diumum calon BN PRK Ayer Kuning | Madani News

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri diumum calon BN PRK Ayer Kuning

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri diumum calon BN PRK Ayer Kuning

SETIAUSAHA UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, pada majlis pelancaran jentera yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Command Centre BN, Kampung Haji Tahir, Temoh dekat Tapah hari ini.

Mohamad Yusri, 54, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kini berkhidmat sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohamad Yusri merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan BN dan UMNO yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili BN pada PRK itu.

“Insya-Allah, kerjasama dan komitmen daripada kita semua, kita akan mampu membawa kejayaan yang besar kepada DUN Ayer Kuning ini dengan meneruskan perancangan dan apa yang telah dibuat Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya memtik laporan Bernama.

DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan, hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

Turut hadir majlis pengumuman itu ialah Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
– MADANI NEWS