SKMM siasat individu muat naik kandungan palsu berkaitan Pahang

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan palsu berkaitan negeri Pahang di platform Facebook miliknya pada 19 April lalu.
Menurut SKMM, kandungan tersebut dipercayai dijana melalui bantuan kecerdasan buatan (Al).
Katanya, susulan itu, pelbagai spekulasi dan persepsi negatif telah timbul dalam kalangan orang awam berkaitan pekebun haram di Raub, Pahang.
“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.
“Sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM telah disita bagi tujuan analisis forensik,” kata SKMM dalam kenyataan media hari ini.
SKMM menambah, kes disiasat di bawah seksyen 233 Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“SKMM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial bagi tujuan penyebaran hantaran atau komentar palsu,” katanya. – MADANI NEWS