SPRM kenal pasti individu terbabit kes ceroboh tanah kerajaan di Raub – Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti senarai individu yang disyaki terlibat dalam kes pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun siasatan giat dijalankan termasuk mengesan bekas dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pejabat daerah.
“Sebahagian mereka mungkin sudah bersara. Ini menyukarkan proses ‘tracing’ dan semakan latar belakang,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Persidangan Antirasuah Asia Tenggara di PICC, Putrajaya, hari ini.
Menurut Azam, siasatan bukan sahaja melibatkan isu tatakelola, malah turut meneliti bagaimana pencerobohan boleh berlanjutan tanpa tindakan selama bertahun-tahun.
Beliau memaklumkan, SPRM sudah membuka siasatan pada 2021 dan ia hampir selesai, namun pencerobohan baharu turut dikesan dengan tanaman berusia lapan hingga sembilan tahun.
“Kami akan mengambil kira aspek ini, dan mempertimbangkan untuk memanggil pihak bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pencerobohan tanah adalah ancaman utama negeri itu, dengan lebih 14,494 hektar tanah kerajaan diceroboh untuk tanaman seperti sawit, getah dan durian.
MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews