Usah dibiar spesies berbahaya berada di jalan raya

SYAWAL bergerak menuju ke penghujung. Namun sambutan hari raya masih hangat di sana sini. Ada sahaja majlis jamuan atau rumah terbuka diadakan di seluruh negara. Pendek kata selagi fajar Syawal belum terbenam, selagi itu hari raya diraikan.
Tetapi penulis bukan hendak bercerita mengenai sambutan hari raya. Sebaliknya ingin menyentuh mengenai sikap pengguna jalan raya sepanjang sambutan Aidilfitri, terutama yng balik kampung untuk meraikannya bersama keluara dan sanak saudara.
Yang mengganggu minda penulis ialah banyaknya notis kesalahan lalu lintas dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada pemandu seluruh negara semasa sambutan hari raya.
Keseluruhannya 61,317 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempuh ‘Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025’, bermula pada 24 Mac dan berakhir tengah malam 9 April lalu.
Memetik Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, notis yang dikeluarkan berdasar pemeriksaaan ke atas 287,802 kenderaan di 353 kawasan panas seluruh negara. Dalam operasi tersebut 511 kenderaan disita.
Orang ramai turut membantu JPJ mengesan mereka yang melakukan kesalahan jalan raya. Pihak JPJ menerima 6,687 aduan melalui Aplikasi MyJPJ berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang hari raya.
Orang awam mengambil gambar atau merakam video kesalahan di jalan raya dan menghantarnya kepada JPJ melalui aplikasi MyJPJ. Sikap orang wam ini wajar dipuji.
Penulis melihat dari dua sudut berhubung jumlah pengeluaran saman yang banyak sepanjang operasi Aidilfitri. Pertama, ia menyerlahkan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh JPJ menguatkuasakan undang-undang dan ‘mencekup’ pelaku kesalahan.
Kedua, ia menggambarkan sikap tidak peduli ramai pengguna jalan raya terhadap keselamatan. Mereka memandu sesuka hati, ingkar mematuhi peraturan. Aspek ini yang penulis risaukan.
Sikap ini sangat tidak wajar dan berbahaya kerana apa juga peraturan dibuat adalah demi menjamin keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya, baik di lebuh raya atau jalan persekutuan.
Aspek keselamatan lebih lebih diutama pada musim perayaan seperti hari raya, di mana jumlah kenderaan di atas jalan berkali ganda banyaknya daripada hari biasa. Kerana itu sangat penting berhati-hati di jalan raya.
Waktu ini jalan raya atau lebuh raya sesak, pergerakan perlahan apabila berduyun-duyun mahu balik kampung. Keadaan ini memang mencabar minda dan perasaan serta kesabaran.
Kerana itu muncul ramai pemandu ‘ganas’ yang tidak sabar, memotong atau mencelah di sana sini. Perbuatan ini bukan sahaja membayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain. Ingat, orang lain pun hendak cepat juga. Jangan hanya fikirkan diri sendiri.
Pelbagai kempen, operasi dan saman dikenakan kepada pengguna jalan yang ingkar. Sebenarnya itu bukan untuk meghukum tetapi sebagai peringatan agar tidak melakukan kesilapan sama.
Diharapkan dengan dikenakan notis saman dan dikompaun, pemandu akan belajar daripada kesilapan. Mungkin ada yang beringat tetapi ramai tetap tidak peduli, melakukan kesalahan demi kesalahan.
Pemandu yang melakukan kesalahan berulang perlu diajar dan wajar menerima hukuman berat, termasuk digantung lesen. Usah dibiar spesis berbahaya berada di atas jalan raya.
Didik diri agar berdisiplin dan berhati-hati di jalan raya. Tanam kesedaran dalam diri sendiri mematuhi peraturan, bukan kerana takut undang-undang. Keselamatan di jalan raya adalah tanggung jawab bersama.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews