Wan Fayhsal patut minta maaf sebar maklumat palsu insiden Putra Heights

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya menarik balik kenyataan media bertarikh 4 April lalu dan memohon maaf secara terbuka kepada semua mangsa tragedi serta Kerajaan Madani atas dakwaan palsu kononnya insiden letupan paip gas Petronas di Putra Heights telah meragut nyawa.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, tindakan Wan Fayhsal yang mempolitikkan tragedi kemalangan itu bagi meraih populariti politik adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.
“Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), YB Wan Ahmad Fayhsal, yang mempolitikkan tragedi kemalangan Putra Heights untuk populariti dan propaganda politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kenyataan medianya pada 4 April, Wan Fayhsal menyebut bahawa insiden letupan tersebut “telah meragut nyawa”, sedangkan pihak berkuasa telah mengesahkan tiada kematian dilaporkan.
“Ini adalah bohong sama sekali dan pihak berkuasa telah menyatakan bahawa tiada sebarang kematian setakat ini. Kenyataan palsu Wan Fayhsal adalah amat dikesali,” tegasnya.
Dalam kenyataan yang sama, Wan Fayhsal juga mendakwa bantuan tunai RM5,000 daripada kerajaan kepada mangsa adalah tidak mencukupi dan merupakan satu “penghinaan”.
“Ini juga berniat jahat kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa Kerajaan Madani hanya memberikan bantuan RM5,000 maksima,” kata Faiz.
Menurut beliau, kenyataan tersebut adalah palsu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menjelaskan bahawa kerajaan akan membaiki atau menggantikan rumah-rumah yang rosak atau musnah dalam letupan itu.
“Ingin saya bertanya kepada Wan Fayhsal, adakah kos rumah baharu bernilai RM5,000 sahaja?” soal Faiz.
Beliau turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri juga telah menyatakan akan mempertimbangkan untuk meningkatkan bantuan tunai tersebut.
“Amaun ini hanyalah bantuan serta-merta dan kerajaan sedang meneliti cara-cara lain untuk memudahkan mangsa-mangsa pulang ke rutin harian mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Faiz berkata, Amanah menuntut Wan Fayhsal supaya menarik balik kenyataan media beliau bertarikh 4 April 2025 serta
memohon maaf secara terbuka kepada semua mangsa tragedi dan kepada Kerajaan Madani atas penyebaran maklumat palsu itu.
“Wan Fayhsal dinasihatkan untuk membawa politik matang dan sejahtera dan tidak memperkudakan isu yang cukup menyayat hati ini.
“Rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang seharusnya berganding bahu dan seiring membantu mangsa tragedi ini sebagai tanda simpati kita dengan kesusahan yang menimpa ribuan mangsa ini, dan hentikan segala bentuk eksploitasi,” katanya.
Menurut beliau, Amanah turut menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang terlibat dan telah menggerakkan jenteranya bagi menghulurkan bantuan yang termampu.
“Malah, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu telah turun melawat kawasan kejadian dan menyantuni mangsa yang terlibat,” katanya. – MADANI NEWS