Adakah nasib Anwar Ibrahim akan menjejaki sahabatnya, Zahid Hamidi ?

KETIKA gelombang reformasi dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dua dekad lalu, ramai melihatnya sebagai simbol perubahan dan pembebasan daripada budaya politik lama – kronisme, nepotisme dan salah guna kuasa. Namun, ironi sejarah seolah-olah sedang menyusun semula babak di mana Anwar kini berdepan dilema yang tidak jauh beza daripada sahabat lamanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menyingkirkan Pemimpin Muda: Satu Ulangan Sejarah
Zahid pernah menerima penolakan daripada pemimpin muda dalam UMNO seperti Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein dan beberapa tokoh reformis dalam parti itu. Hasilnya, Zahid bertindak menyingkirkan mereka satu demi satu — menjadikan parti bertambah lemah, terpisah dari realiti anak muda, dan akhirnya tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Anwar pula kini berdepan situasi hampir sama. Campur tangan secara tidak langsung untuk menyusun semula hirarki parti dengan mendorong anaknya, Nurul Izzah, mencabar Timbalan Presiden Rafizi Ramli dalam pemilihan parti, menjadi punca kepada perpecahan dalaman yang semakin membarah. Perletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi sebagai isyarat protes jelas mencerminkan retak yang semakin menanti belah.
Tindakan ‘menyusun’ kedudukan Nurul Izzah bertentangan dengan janji awalnya untuk hanya bertanding Naib Presiden. Ini bukan sekadar isu dalaman, tetapi telah mengundang kekecewaan akar umbi dan reaksi negatif dari penyokong parti lintas kaum — termasuk masyarakat Cina yang sebelum ini menjadi antara tunjang sokongan kepada PKR.
Apa yang berlaku menambah persepsi bahawa Anwar kini hanyalah satu lagi produk sistem lama — mengulangi kesilapan yang pernah beliau kritik suatu masa dahulu.
Antara Survival Politik dan Isu Mahkamah
Satu lagi persamaan yang semakin ketara antara Anwar dan Zahid ialah cara mereka ‘bersilat’ menghadapi proses perundangan. Jika Zahid pernah terdesak memohon ehsan beberapa Perdana Menteri sebelum ini agar kesnya digugurkan, Anwar kini juga dilihat mengambil pendekatan serupa apabila cuba mendapatkan imuniti bersyarat untuk tidak dibicarakan dalam kes Yusoff Rawther.
Walaupun secara teknikal beliau berhak memohon kekebalan selaku Perdana Menteri, namun dari sudut moral dan persepsi awam, langkah itu mencetuskan tanda tanya besar: Apakah ini reformasi yang dijanjikan?
Dengan perpecahan dalaman yang ketara, hilangnya tokoh muda berpengaruh, dan sentimen rakyat yang makin tawar hati, PKR kini berisiko besar menghadapi penolakan yang serupa dialami UMNO pada PRU lepas. Malah beberapa kenyataan dari pemimpin seperti Rafizi sendiri membayangkan bahawa parti sedang menuju ke arah self-destruction jika perubahan radikal tidak dilakukan segera.
Anwar Ibrahim masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan legasi perjuangannya, tetapi masa semakin suntuk. Jika langkah pemulihan tidak diambil, terutama dalam menangani isu nepotisme, penyatuan semula tokoh reformis, dan ketelusan dalam proses perundangan — beliau tidak mustahil akan menjejaki jalan yang pernah dilalui Zahid Hamidi – kehilangan kepercayaan rakyat, hilang kuasa, dan akhirnya hanya dikenang sebagai satu lagi episod kegagalan reformasi yang tidak kesampaian.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews