Akibat percayakan Waze, wanita pandu kereta masuk laluan motosikal

KLANG – Gara-gara terlalu bergantung kepada aplikasi Waze, seorang wanita memandu keretanya memasuki laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, baru-baru ini.
Kejadian yang tular dalam media sosial itu memaparkan sebuah kereta memasuki laluan motosikal di susur Lebuhraya Persekutuan dari Lebuhraya Shapadu arah Klang menuju ke Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 13 Mei lalu melibatkan seorang wanita warganegara yang memandu kereta dengan berpandukan aplikasi Waze untuk ke i-City Mall, Shah Alam.
“Apabila sampai di susur Lebuhraya Persekutuan, aplikasi Waze meminta pemandu mengikut laluan sebelah kiri.
“Pemandu tersebut telah memberhentikan kereta di kiri jalan, kemudian mengundur lalu masuk ke laluan motosikal hingga ke penghujung jalan kerana tidak tahu laluan tersebut merupakan laluan motosikal,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Vijaya Rao menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya walaupun berpandukan aplikasi navigasi.
Sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor V. Kumarendran di talian 017-5253136. – MADANI NEWS