Bola sepak negara meruncing: Sistem gagal, pasukan tumbang.. jangan sampai liga mati | Madani News

Bola sepak negara meruncing: Sistem gagal, pasukan tumbang.. jangan sampai liga mati

Bola sepak negara meruncing: Sistem gagal, pasukan tumbang.. jangan sampai liga mati

PENGUMUMAN Perak FC untuk tidak menyetai saingan Liga Super musin depan bukan sekadar berita duka buat peminat bola sepak negeri, tetapi menjadi simbol amaran keras bahawa sistem Liga Malaysia yang kini berada di ambang kegagalan.

Gesaan Pemuda Amanah Perak agar rombakan menyeluruh terhadap sistem bola sepak negara dibuat segera adalah refleksi keresahan yang semakin membuak dari akar umbi – bahawa liga profesional yang sepatutnya mengangkat mutu sukan ini, kini menjerut leher kelab dengan struktur kewangan yang tidak mampan dan pentadbiran yang longgar.

“Kita perlu berani menerima hakikat bahawa sistem sedia ada gagal menjamin kelangsungan pasukan bola sepak,” tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Munzirie Kabir, yang mencadangkan penstrukturan semula gaji pemain, pembangunan akar umbi dan insentif kepada penaja sebagai jalan ke hadapan.

Apa yang dibangkitkan Munzirie bukan kes terpencil. Dalam beberapa bulan lalu, sudah lebih tujuh kelab Malaysia dihukum FIFA kerana kegagalan membayar gaji pemain – daripada Kelantan FA, Sarawak United hingga Terengganu FC. Hukuman penggantungan, sekatan pendaftaran pemain baharu dan imej liga yang tercalar kini menjadi isu antarabangsa. Malah ada bekas pemain luar negara yang mendakwa tidak dibayar sehingga sembilan bulan.

Sistem Liga Yang ‘Tidak Seimbang’ dan Cipta Monopoli?
Cadangan rombakan Liga Malaysia juga telah menimbulkan polemik di kalangan pengkritik industri bola sepak. Ada yang mendakwa sistem sedia ada terlalu menguntungkan satu atau dua pihak tertentu – dipercayai merujuk kepada pasukan besar yang disokong oleh sumber dana kerajaan negeri atau entiti korporat gergasi – sementara pasukan kecil terkapai-kapai dalam kancah persaingan yang tidak adil.

Beberapa pengkritik bebas menyatakan bahawa struktur liga kini terlalu berorientasikan perniagaan tanpa realiti pasaran yang sesuai dengan ekonomi tempatan. Gaji tinggi pemain import, kos logistik, pengurusan stadium dan pemasaran yang tidak terancang menyebabkan kelab menanggung beban berterusan.

Mereka juga menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM kerana terlalu mementingkan pelesenan dan ‘standard profesional’ tanpa mengambil kira realiti kewangan kelab, terutama yang dari negeri atau kawasan luar bandar.

Cadangan Alternatif: Kembali ke Akar Umbi
Munzirie menyarankan agar kembali kepada semangat asal bola sepak – sokongan komuniti dan pembangunan pemain tempatan. Cadangan seperti:

Gaji pemain distruktur semula secara berperingkat berdasarkan kemampuan kelab.

Penekanan kepada pemain tempatan dan pembangunan skuad B-23.

Insentif pelepasan cukai untuk syarikat swasta yang menaja kelab.

Pemberdayaan kelab komuniti sebagai feeder club.

Ini sejajar dengan pandangan ramai bekas pemain dan pengurus yang menyeru agar model pembangunan Jepun dan Korea Selatan dijadikan contoh – di mana komuniti setempat dan pendidikan sukan diperkasakan terlebih dahulu sebelum mengejar glamor liga.

Penutup: Mahu Liga Maju, Tapi Jangan Sampai Mati
Reformasi Liga Malaysia tidak boleh dilambatkan lagi. Ia harus lebih adil, telus dan pragmatik. Rombakan mesti menyeimbangkan keperluan profesionalisme dengan daya tahan kewangan pasukan. Jika tidak, Liga Malaysia bukan sahaja kehilangan pasukan tradisi, malah akan terus menjadi ‘ladang hutang’ yang menghancurkan karier pemain dan kepercayaan peminat. – MADANI NEWS