Budaya rasuah terus berleluasa, hanya Pas terkecuali - Perkasa | Madani News

Budaya rasuah terus berleluasa, hanya Pas terkecuali – Perkasa

Budaya rasuah terus berleluasa, hanya Pas terkecuali – Perkasa

PRESIDEN Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali melontarkan kecaman keras terhadap budaya rasuah yang didakwa telah menjadi “perkara wajib” dalam kalangan pemimpin politik dan pegawai kerajaan negara ini.

Dalam wawancara eksklusif menjelang “Himpunan Berdaulat 24 Mei” di platform TikTok Perspektif 360, Syed Hasan menyifatkan rasuah di Malaysia bukan lagi sekadar budaya, sebaliknya sudah membarah menjadi sistem — dan sesiapa yang enggan terlibat akan dipinggir dan disingkirkan.

Syed Hasan Syed Ali

“Kalau kamu penguat kuasa yang jujur, tidak mahu ikut permainan rasuah, kamu akan dipindahkan ke jabatan ‘sejuk’. Nak naik pangkat pun susah. Begitulah budaya dalam jabatan-jabatan penguatkuasaan sekarang,” katanya memetik laporan Harakahdaily.

Rasuah Ragut Maruah Melayu

Syed Hasan turut mengaitkan kemelut ekonomi Bumiputera dengan rasuah, mendakwa banyak dasar dan peluang ‘dijual’ oleh mereka yang berkuasa kepada pihak tertentu, hingga menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan.

Beliau memberi contoh pengambilan tanah secara paksa di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur – kawasan majoriti Melayu – sebagai lambang bagaimana kerakusan kuasa dan rasuah mengorbankan rakyat biasa.

“Projek-projek pembangunan ini diluluskan tanpa timbang rasa. Orang Melayu dipaksa pindah, dapat 30% sahaja dari tanah asal, yang 70% lagi jadi kondo mewah. Semua ini berlaku kerana rasuah ada di tangan pemimpin,” katanya.

Puji PAS, Sindir Pemimpin Lain

Menariknya, dalam kritikannya yang menyeluruh terhadap pemimpin politik negara, Syed Hasan memuji satu-satunya parti yang menurutnya masih bebas daripada gejala rasuah – PAS.

“Tak pernah dengar pemimpin PAS didakwa di mahkamah kerana kes-kes puluhan juta. Sekarang ni, dari parti-parti lain, kita bukan saja dengar puluhan juta, bahkan ratusan juta. Rasuah sudah jadi syarat untuk jadi pemimpin.”

Kenyataan tegas Perkasa ini dilihat sebagai tamparan kepada kerajaan dan parti-parti politik arus perdana yang sering melaungkan agenda reformasi dan integriti, tetapi gagal membersihkan barisan kepimpinan mereka daripada elemen yang korup.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews