“Janji turunkan harga minyak tinggal janji” – Rasionalisasi subsidi RON95, harga barang dan kos sara hidup pasti naik

CADANGAN kerajaan untuk memulakan rasionalisasi subsidi minyak RON95 pada separuh kedua 2025 menimbulkan reaksi pelbagai pihak, termasuk kebimbangan tentang kesan berantai terhadap harga barangan dan kos sara hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Tengku Muhammad Fakhruddin Md Fauzi, menyuarakan keresahan bahawa langkah ini bukan sekadar soal angka dalam belanjawan negara, tetapi bakal menyentuh nadi ekonomi harian rakyat – daripada dapur ke pengangkutan, daripada pasar ke sekolah.
Maka janji Pakatan Harapan untuk menurunkan harga minyak sekadar laungan penyedap telinga pemimpin mereka ketika berkempen sahaja. Tentu semua masih terngiang-ngiang ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim: ” Hari ini kita menang..esok harga minyak turun…”
Peningkatan harga bahan api seperti RON95 tidak pernah berlaku dalam ruang ekonomi yang kosong. Ia secara langsung akan meningkatkan kos logistik, seterusnya menekan harga barangan keperluan dan perkhidmatan asas. Ini selaras dengan prinsip asas ekonomi bahawa bahan api ialah komponen input kritikal dalam rantaian bekalan.
Kesan ini lebih ketara apabila mekanisme kawalan harga di sektor pengguna lemah atau tidak wujud. Dalam konteks Malaysia, sektor seperti pengangkutan awam, pengedaran makanan dan penghantaran e-dagang amat sensitif terhadap sebarang perubahan harga minyak.
Ketirisan dan Kebocoran Subsidi
ADUN Sura turut menyentuh isu utama yang sering membelenggu sistem subsidi negara — ketirisan dan kelemahan penguatkuasaan sempadan. Jika masalah ini tidak diatasi, sebarang langkah rasionalisasi tidak akan mencapai matlamatnya kerana subsidi tetap akan bocor kepada pihak tidak layak, termasuk sindiket penyeludupan ke negara jiran.
Mekanisme pengesahan melalui MyKad, sebagaimana diumumkan kerajaan, boleh membantu mengenal pasti golongan yang layak, namun ia masih bergantung kepada integriti sistem pelaksanaan dan pemantauan.
Tengku Muhammad Fakhruddin juga membangkitkan isu yang semakin banyak dibincangkan rakyat – iaitu ketidaktepatannya sistem klasifikasi B40, M40 dan T20. Realitinya, ramai dalam kumpulan M40 hari ini menanggung kos hidup yang hampir setara dengan B40, malah tidak layak mendapat bantuan, tetapi turut terjejas jika subsidi dipotong.
Maka, penggunaan sistem data yang lebih granular seperti Pendapatan boleh guna, lokasi tempat tinggal (bandar vs luar bandar), dan komitmen isi rumah sebenar mungkin lebih tepat dalam menentukan siapa sebenarnya yang layak menerima subsidi bersasar.
Pilihan Alternatif: Cukai Kekayaan dan Wakaf
Dalam nada konstruktif, ADUN Sura mencadangkan pendekatan berdasarkan ekonomi Islam seperti cukai kekayaan dan mobilisasi instrumen wakaf sebagai mekanisme kewangan alternatif. Jika diuruskan secara telus, hasil daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas dikatakan mampu membiayai subsidi tanpa membebankan rakyat.
Ini adalah satu pendekatan jangka panjang yang menuntut perubahan struktur dan iltizam politik yang tinggi — suatu perkara yang sering terhenti di tengah jalan dalam landskap politik Malaysia.
Rasionalisasi subsidi adalah langkah yang sukar tetapi mungkin perlu untuk keseimbangan fiskal negara, terutama dalam menghadapi hutang awam dan keperluan pembangunan masa depan. Namun, kejujuran dan ketelusan dalam pelaksanaan menjadi tuntutan utama rakyat.
Seperti yang ditekankan oleh ADUN Sura, rakyat tidak menolak perubahan — tetapi menuntut dasar yang adil, tidak menekan, dan berpaksikan nilai, bukan semata-mata angka.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews