KPF catat prestasi positif, hasil laksana pelan rasionalisasi strategik - Pengerusi | Madani News

KPF catat prestasi positif, hasil laksana pelan rasionalisasi strategik – Pengerusi

KPF catat prestasi positif, hasil laksana pelan rasionalisasi strategik – Pengerusi
Mohd Banuri Arif pada sidang media berhubung prestasi semasa Koperasi Permodalan Felda di Kuala Lumpur hari ini. - Foto IZZAT BAHARUN (KPF)

KOPERASI Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) terus mencatatkan prestasi kewangan yang positif hasil pelaksanaan pelan rasionalisasi strategik yang bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan dan mengembalikan keyakinan anggota.

Pengerusi KPF, Dato’ Mohd Banuri Aris berkata, pendekatan rasionalisasi yang dilaksanakan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu mula menunjukkan hasil, dengan pemerkasaan struktur pentadbiran menjadi teras utama kepada penambahbaikan prestasi koperasi.

“Kami optimis bahawa pendekatan ini telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF dan membuka ruang kepada model perniagaan yang lebih lestari,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

KPF mengambil pendekatan holistik melalui Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang merangkumi tiga langkah utama:

  1. Penjualan aset perladangan tertentu, dijangka selesai menjelang suku keempat 2025.
  2. Pelupusan hartanah tidak produktif, yang tidak memberikan pulangan mampan.
  3. Penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu, untuk meningkatkan kecekapan pelaburan.

Langkah ini diambil bukan sahaja bagi menjana aliran tunai, malah sebagai strategi jangka panjang untuk menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi dan memperkukuh daya saing koperasi.

Bayar RM319.44 juta kepada 18,783 ahli mohon pengeluaran syer

Mengulas isu permohonan pengeluaran syer, Dato’ Mohd Banuri berkata KPF komited memenuhi tanggungjawab kepada anggota secara berperingkat dengan keutamaan kepada kes-kes kritikal.

Sejak tahun 2022 hingga April 2025, KPF telah menerima 29,159 permohonan pengeluaran syer bernilai RM691.58 juta. Daripada jumlah itu, RM319.44 juta telah dibayar melibatkan 18,783 permohonan, manakala baki 10,376 permohonan bernilai RM372.13 juta sedang diproses secara penggiliran.

“Permohonan untuk tujuan seperti perubatan, haji, umrah dan pendidikan akan diberi keutamaan. Kita uruskan dengan teliti dan bertanggungjawab,” katanya.

KPF turut merakamkan penghargaan kepada FELDA, khususnya Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan, termasuk pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS).

KPF turut menegaskan bahawa sejak penubuhannya pada 1980, koperasi itu kekal mencatatkan prestasi kewangan stabil tanpa sebarang kerugian.

Menutup sidang media, Mohd Banuri mengajak semua anggota untuk terus bersama menyokong agenda pemulihan koperasi demi masa depan yang lebih gemilang.

“Sokongan anggota adalah nadi kekuatan kami. Kita akan bangkit bersama menuju kecemerlangan,” katanya.