Krisis rumah tangga dipercayai punca bapa tikam anak | Madani News

Krisis rumah tangga dipercayai punca bapa tikam anak

Krisis rumah tangga dipercayai punca bapa tikam anak

PASIR MAS – Krisis rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang bapa menikam anak bongsunya di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, suspek menikam mangsa yang berumur 11 tahun sebanyak dua kali di dada dan sekali di perut dengan menggunakan pisau pemotong sayur.

Beliau juga mengesahkan kejadian berlaku di rumah suspek dan laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kira-kira pukul 9.08 pagi.

“Punca kepada kejadian adalah dipercayai dari krisis rumahtangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses penceraian dengan isterinya untuk kali ketiga yang telah dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei ini.

“Suspek dipercayai mempunyai masalah mental dan telah menerima rawatan psikiatrik sejak 2008 sehingga kini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kama Azural berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi menerima rawatan lanjut.

Menurut beliau, suspek telah ditangkap dan ditahan di lokap Balai Polis Pasir Mas.

“Permohonan reman keatas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh,” jelasnya.

Kama Azural berkata, PDRM menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menjejaskan siasatan.

“Sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Wan Noraida Wan Hamat di talian 09-7932222,” katanya. – MADANI NEWS