MPP sahkan keputusan pemilihan cabang yang dipertikai – Setiausaha Agung PKR

SETIAUSAHA Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh mengesahkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk mengesahkan keputusan pemilihan peringkat cabang yang dipertikaikan
Fuziah berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP malam tadi namun tidak menjelaskan bagaimana keputusan itu dicapai.
Malam tadi, sumber dalaman parti itu memberitahu Malaysiakini dalam mesyuarat selama satu jam itu, juruaudit antarabangsa yang dilantik untuk menyemak keputusan pemilihan telah memberi taklimat kepada MPP menerusi sidang video, memetik laporan portal tersebut.
Sumber itu mendakwa tiada sebarang bantahan dikemukakan terhadap keputusan untuk menerima keputusan pemilihan cabang dan bergerak ke depan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli – yang mana kemnya tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan cabang – turut hadir.
Sebelum ini, khabar angin tersebar bahawa rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan, yang dilihat mempunyai keputusan luar jangka, mendorong Rafizi mempertimbang untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Walaupun Rafizi menang sebagai ketua Cabang Pandan, calon-calon lain yang mengalami kekalahan mengejut termasuk Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda Adam Adli Abd Halim, serta ahli MPP Akmal Nasrullah Nasir, Fahmi Zainol, Lee Chean Chung dan Rodziah Ismail.
Keputusan malam tadi membuka laluan untuk PKR meneruskan pemilihan peringkat pusat, di mana Anwar Ibrahim telah mengekalkan jawatannya sebagai presiden tanpa dicabar untuk penggal terakhirnya.
Timbul spekulasi Rafizi Ramli bakal berdepan saingan bagi jawatan timbalan presiden.
Proses pencalonan akan dibuka pada 8 dan 9 Mei manakala pengundian dijadualkan diadakan pada 23 Mei.
PKR kembali menggunakan sistem perwakilan untuk pemilihan peringkat pusat kali ini, selepas 15 tahun bereksperimen dengan sistem satu ahli satu undi.
Perubahan ini mungkin memberi kesan kepada prestasi kem Rafizi dalam pemilihan memandangkan perwakilan ditentukan di peringkat cabang. – MADANI NEWS