Rafizi letak jawatan lepas dedah reformasi PKR gagal – Puad

TINDAKAN Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatan sebagai menteri ekonomi menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kerat 2.0 dalam PKR selepas mendedahkan reformasi yang dilaung-laungkan parti itu selama ini telah gagal.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, berkata reputasi pemilihan PKR “dikoyak” oleh Rafizi yang juga bekas timbalan presiden.
“Pemilihan PKR menjadi medan parti itu dikoyak-rabakkan reputasinya oleh Rafizi. Rafizi kata, reformasi PKR gagal. Justeru geng dia bangkit demi hidupkan reformasi tulin.
“Dia bawa slogan Hiruk (Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa). Apabila tuduh Anwar (Ibrahim) dan PKR gagal melaksanakan reformasi secara tidak langsung dia juga menuduh kerajaan gagal.
“Berlaku perebutan, siapa pendokong reformasi tulen. Apabila Rafizi masuk ke dewan, penyokongnya menjerit “reformasi”. Bila Anwar tutup ucapan penggulungannya, dia juga melaungkan reformasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu hari ini Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang.
Menurut Rafizi, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan menghabiskan cuti tahunan sehingga tarikh akhir tersebut.
“Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata reformasi dalam PKR ternyata gagal apatah lagi Rafizi sendiri menuduh sistem pemilihan parti itu korup.
“Ternyata reformasi hanya hiruk pikuk. Ia gagal bukan kerana ujian kuasa tetapi kurang upaya menjayakannya. Slogan itu hanya retorik. Bagaimana reformasi akan berjaya kerana Rafizi sendiri tuduh sistem pemilihan PKR korup?
“MB Selangor (Amirudin Shari yang juga naib presiden PKR) kata mesyuarat khas akan bincang peranan buat Rafizi. Tetapi Rafizi umum letak jawatan menteri.
“Dia terselamat daripada jadi mangsa kerat 2.0. Janji reformasi bukan lagi tanggungjawabnya. Ia beban kepada PMX. Siapa akan kerat siapa?” soal Mohd Puad lagi.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews