Sarawak dakwa Petronas Carigali jalan operasi secara haram di Miri | Madani News

Sarawak dakwa Petronas Carigali jalan operasi secara haram di Miri

Sarawak dakwa Petronas Carigali jalan operasi secara haram di Miri
Gambar hiasan dari laman web Petronas

KERAJAAN negeri Sarawak dilaporkan telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Petronas Carigali Sdn Bhd, mendakwa syarikat itu menjalankan operasi secara haram di Terminal Minyak Mentah Miri.

Menurut laporan Business Times New Straits Times, satu notis undang-undang bertarikh 30 April telah dikeluarkan kepada anak syarikat Petronas itu, dengan tempoh 21 hari diberikan untuk mendapatkan lesen yang diperlukan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan syarikat itu dikenakan penalti kewangan.

Laporan tersebut menyatakan Sarawak mendakwa Petronas Carigali telah melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO), iaitu undang-undang negeri yang mewajibkan lesen bagi mengendalikan saluran paip gas dan kemudahan berkaitan di negeri itu.

Tindakan undang-undang ini menandakan pertikaian yang semakin meruncing antara kerajaan Sarawak dan Petronas, susulan usaha negeri itu untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas sumber minyak dan gas dalam kawasannya melalui syarikat milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Sarawak mencabar Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang memberikan kawalan penuh kepada Petronas terhadap sumber hidrokarbon negara.

Sebaliknya, kerajaan negeri berpendapat PDA tidak terpakai di wilayahnya dan sebaliknya berkeras untuk menggunakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958, yang memberikan kuasa ke atas minyak dan gas dalam jarak 200 batu nautika dari pesisir pantainya.

Sarawak turut mendakwa bahawa negeri itu memiliki 60.87 peratus daripada rizab petroleum terbukti (Proven reserves) dan berpotensi di Malaysia serta menyumbang 90 peratus daripada eksport gas asli cecair (LNG) negara.

Ketegangan ini dilaporkan menyebabkan syarikat minyak AS, ConocoPhillips, menarik diri daripada satu projek minyak dan gas laut dalam berskala besar di perairan pesisir Borneo.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews