15 maut, bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik | Madani News

15 maut, bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik

15 maut, bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik
Gambar FB

SEKURANG-KURANGNYA 15 maut dalam melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan, dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi tadi.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut dari Hospital Gerik pada 1.10 pagi tadi.

“Sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza,” menurut kenyataan itu.

PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terlibat, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kementerian itu akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang turut melibatkan warga UPSI.

“Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
— BERNAMA

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews