5 pemain warisan lulus FIFA: Malaysia dapat tonik baru menjelang perlawanan dengan Vietnam | Madani News

5 pemain warisan lulus FIFA: Malaysia dapat tonik baru menjelang perlawanan dengan Vietnam

5 pemain warisan lulus FIFA: Malaysia dapat tonik baru menjelang perlawanan dengan Vietnam

SKUAD Harimau Malaya menerima suntikan semangat baharu apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan penyertaan lima pemain warisan yang kini sah untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado telah mendapat kelulusan penuh daripada FIFA dan dibenarkan untuk menyarung jersi kebangsaan menjelang aksi getir menentang Vietnam malam ini.

“FAM ingin memaklumkan bahawa kelima-lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya telah mendapat kelulusan daripada FIFA dan boleh beraksi menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini,” menurut kenyataan itu.

Kelima-lima pemain ini dilihat mampu memperkasa pasukan bimbingan Peter Cklamovski, menjelang perlawanan penting dalam saingan Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Perlawanan yang dijadualkan pada Selasa, jam 9.00 malam itu bukan sekadar ujian taktikal dan fizikal, tetapi juga cabaran moral buat Harimau Malaya yang mahu mengembalikan aura kebangkitan di hadapan puluhan ribu penyokong setia.

Kehadiran lima pemain warisan ini juga menandakan komitmen FAM dan barisan kejurulatihan untuk memperkukuh pasukan dengan bakat global berakar umbi Malaysia, dalam usaha melonjakkan pencapaian di pentas antarabangsa.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews