Hector Hevel sah sertai JDT, kongsi asal-usul keluarga dari Melaka | Madani News

Hector Hevel sah sertai JDT, kongsi asal-usul keluarga dari Melaka

Hector Hevel sah sertai JDT, kongsi asal-usul keluarga dari Melaka

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Hector Hevel, mengesahkan beliau akan menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim akan datang, sekaligus mengukuhkan skuad juara 11 kali Liga Super Malaysia itu menjelang musim 2025/26.

Perkara itu diumumkan Hevel sendiri dalam satu sidang media pada Jumaat, ketika beliau sedang membuat persiapan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan penting menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

“Ya, saya akan sertai JDT pada musim akan datang,” ujar Hevel kepada media, mengesahkan perpindahan dari kelab Portugal, Portimonense SC, yang beraksi dalam Liga Divisyen 2 Portugal.

Musim lalu, Hevel membuat 13 penampilan dan mencatat dua bantuan jaringan bersama Portimonense selepas menyertai kelab itu awal tahun ini. Kini, beliau dijangka menjadi watak penting dalam barisan tengah Harimau Selatan.

Dalam pada itu, Hevel turut mendedahkan kaitan peribadinya dengan Malaysia apabila mengesahkan bahawa datuknya berasal dari Melaka – fakta yang menjelaskan kelayakannya untuk mewakili skuad kebangsaan.

“Ya, datuk saya berasal dari Melaka,” katanya ketika ditanya tentang asal-usul keluarganya.

Hevel mula mencuri tumpuan peminat tempatan apabila menjaringkan gol sulung dalam penampilan pertama bersama Harimau Malaya menentang Nepal, selepas menyertai kem kebangsaan pada Mac lalu.

Bekas graduan akademi ADO Den Haag ini bukan asing dengan bola sepak Asia, setelah pernah beraksi bersama kelab Guangxi Pingguo di China sebelum berpindah ke Eropah.