Kaji semula waktu operasi bas, pemanduan malam berisiko tinggi - PPJK | Madani News

Kaji semula waktu operasi bas, pemanduan malam berisiko tinggi – PPJK

Kaji semula waktu operasi bas, pemanduan malam berisiko tinggi – PPJK

PERSATUAN Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) menggesa kerajaan mengkaji semula waktu operasi dan had umur pemandu bas persiaran serta ekspres selepas nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.

“Pemanduan waktu malam berisiko tinggi, terutama jika pemandu tidak cukup rehat atau kenderaan dalam keadaan tidak sempurna,” kata Presiden PPJK, Fahami Ashrof Badaruddin kepada FMT.

Seramai 15 pelajar UPSI maut selepas bas dalam perjalanan pulang ke universiti itu melanggar bahagian belakang Perodua Alza, sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding, Perak, awal pagi semalam.

Gambar FB Geng Keselamatan Negara

Kemalangan itu membabitkan 48 mangsa terdiri daripada 42 pelajar UPSI, pemandu dan kelindan bas serta pasangan suami isteri bersama dua anak mereka yang menaiki Perodua Alza.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, fokus siasatan nahas tertumpu kepada kemungkinan kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan.

Sementara itu, Fahami mencadangkan kerajaan menetapkan had umur pemandu bas dan kenderaan berat lain demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Kita faham pemandu mengejar ‘trip’, tetapi faktor usia seperti 50 tahun ke atas boleh menjejaskan tumpuan ketika memandu,” katanya sambil menekankan kepentingan penggunaan laluan lebih selamat dan terurus bagi bas serta kenderaan berat.

Menurutnya, bas dan lori perlu digalak menggunakan laluan lebih terang dan selamat, walaupun lebih jauh kerana boleh mengurangkan risiko kemalangan.

Beliau turut menggesa kerajaan mewajibkan pemeriksaan bas lebih kerap, iaitu setiap dua bulan, bukannya enam bulan sekali seperti amalan biasa.

“Pemeriksaan berkala terhadap sistem brek, stereng dan tayar perlu ditingkatkan. Kenapa bas tidak boleh dikenakan pemeriksaan seperti kenderaan lain yang membawa muatan bernilai seperti nyawa manusia.

“Kita tidak mahu bertindak hanya selepas tragedi. Nyawa anak muda yang sedang menuntut ilmu tidak sepatutnya jadi korban atas kecuaian yang boleh dielakkan.”

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews