Lagi kejadian bas ekspres kemalangan, 13 pelajar UMPSA antara yang terselamat

SERAMAI 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Pahang (UMPSA) terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan treler di Kilometer 161, Lebuh raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam UMPSA, Mimi Rabitah Abdul Wahit, berkata semua pelajar terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala ke Terminal Sentral Kuantan (TSK).
“Pelajar berkenaan menaiki bas dari TBS jam 8.30 malam tadi dan kami dimaklumkan kemalangan berlaku sekitar jam 2 pagi.
“Setakat ini, semua pelajar terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka selamat tiba di Masjid UMPSA Kampus Gambang jam 3 pagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Maran, Supt Wong Kim Wai, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan itu kira-kira jam 1 pagi.
Katanya kemalangan itu membabitkan bas ekspres yang membawa 28 penumpang, dan sebuah treler.
“Menurut siasatan awal, bas ekspres itu terlanggar bahagian belakang treler sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Akibat rempuhan itu, bas berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, bumper depan rosak dan cermin besar hadapan retak,” katanya.
Wong memaklumkan pemandu bas ekspres berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Katanya, pemandu dan kelindan treler yang masing-masing berusia 40 dan 25 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan akibat rempuhan itu.
“Semua penumpang bas ekspres dibawa ke TSK menggunakan bas transit disediakan pihak LA Holiday.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews