Peguam waris Tun Daim pertikai kenapa polis tidak siasat Anwar, Azam dakwaan laporan Bloomberg?

PEGUAM kepada balu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, mendakwa pihak berkuasa telah mengklasifikasikan siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA), sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan keadilan proses penyiasatan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal memaklumkan bahawa keputusan NFA itu dimaklumkan kepada mereka melalui sepucuk surat rasmi daripada Ketua Polis Daerah Sentul bertarikh 21 Jun, yang turut disalurkan oleh pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Keputusan ini tidak boleh diterima, mengejutkan, dan bertentangan dengan prinsip tadbir urus baik serta kedaulatan undang-undang,” kata mereka.
Peguam tersebut turut mempersoalkan sama ada siasatan dilakukan dengan menyeluruh, bebas dan adil memandangkan tiada maklumat dikemukakan mengenai individu yang telah disoal siasat, tindakan yang diambil, mahupun asas kepada keputusan NFA tersebut, memetik laporan Malaysiakini.
“Adakah Perdana Menteri telah disoal siasat? Adakah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, telah dipanggil memberi keterangan? Mengapa semuanya berakhir begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan kepada orang awam?” soal mereka lagi.
Laporan Bersandarkan Artikel Bloomberg
Siasatan terhadap Anwar bermula selepas Na’imah Abdul Khalid, balu Daim, membuat laporan polis pada 30 September tahun lalu susulan laporan Bloomberg bertarikh 26 September yang mendakwa wujud campur tangan politik dalam siasatan SPRM terhadap Daim dan sekutunya.
Artikel berkenaan turut mendakwa Anwar memberi arahan kepada Azam Baki supaya tidak meneruskan siasatan terhadap bekas pembantu khas beliau, Farhash Wafa Salvador, yang dikaitkan dengan pembelian saham dalam syarikat tersenarai HeiTech Padu Bhd.
Aduan Lanjut kepada IPCC
Dua hari sebelum keputusan NFA dimaklumkan, Na’imah turut mengemukakan satu aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), menuntut supaya siasatan dilakukan terhadap pihak polis yang didakwa gagal mengambil tindakan terhadap aduannya secara profesional.
Peguamnya menyifatkan tindakan “menutup kes secara senyap” tanpa penjelasan sebagai satu bentuk kegagalan institusi yang memberi kesan besar terhadap kepercayaan awam terhadap sistem perundangan negara.
“Ini mencemarkan imej polis dan Jabatan Peguam Negara serta mengesahkan kebimbangan kami bahawa kebebasan institusi di bawah pentadbiran hari ini semakin terhakis,” kata mereka.
Pihak peguam turut memberi amaran bahawa mereka tidak akan berhenti memperjuangkan isu ini demi menuntut ketelusan dan keadilan.
“Kami akan terus bersuara sehingga kebenaran terbongkar dan keadilan ditegakkan. Rakyat Malaysia berhak mendapat institusi yang melindungi kepentingan awam, bukan individu berkuasa,” tegas mereka.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews