Pemilik serah balik kereta elektrik BYD 'mati tengah jalan' | Madani News

Pemilik serah balik kereta elektrik BYD ‘mati tengah jalan’

Pemilik serah balik kereta elektrik BYD ‘mati tengah jalan’

PEMILIK kenderaan pelbagai guna (SUV) elektrik sepenuhnya (EV) BYD Atto 3 yang tular selepas mengalami insiden cemas di lebuh raya, akhirnya melepaskan kenderaan tersebut menerusi penyelesaian penuh pinjaman bank ‘full settlement’ yang ditanggung sepenuhnya pihak BYD Sime Motors.

Menurut laporan Sinar Harian, Izwan Hassan, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keselamatan keluarganya, walaupun beliau mengalami sedikit kerugian akibat bayaran ansuran yang telah dibuat sepanjang tempoh pemilikan.

“Kami menghargai tindakan profesional pihak BYD Sime Motors yang menyelesaikan isu ini secara baik dengan membeli semula kenderaan tersebut melalui ‘full settlement’ dengan pihak bank.

“Walaupun saya mengalami sedikit kerugian kerana telah membuat bayaran ansuran selama beberapa bulan, saya tidak sanggup menanggung risiko jika kejadian sebegini berulang. Keselamatan keluarga adalah keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Terdahulu, Izwan sekeluarga mengalami detik mencemaskan apabila SUV elektrik yang baru dibeli 10 bulan lalu berhenti secara tiba-tiba ketika dipandu di lorong kanan Lebuh Raya Cheras-Kajang dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang, pada 1 Mei lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika kenderaan dipandu pada kelajuan antara 90 hingga 100 kilometer sejam.

Selepas 12 hari kenderaan tersebut berada di pusat servis BYD Glenmarie, wakil syarikat akhirnya hadir ke Melaka dan menjelaskan bahawa punca sebenar insiden bukanlah disebabkan bateri 12V seperti didakwa pada awalnya, sebaliknya berpunca daripada kerosakan sensor pada pintu pemandu.

“Pihak mereka maklumkan apabila sensor pintu rosak, sistem keselamatan kenderaan akan diaktifkan secara automatik. Lampu hazard akan menyala serta-merta, brek diaktifkan dengan sangat pantas dan sistem kereta terus dimatikan.

“Berdasarkan rakaman dashcam, kereta saya mula membrek pada jam 00:21 ketika kelajuan 106 kilometer sejam dan berhenti sepenuhnya pada 00:27 dalam masa kurang tujuh saat,” katanya.

Lebih membimbangkan, ujar Izwan, tiada sebarang amaran awal muncul pada sistem sebelum kereta mengambil tindakan drastik itu.

“Tayar tidak boleh dipusingkan walaupun gear sudah ditukar ke ‘N’. Semuanya berlaku terlalu pantas, kami tidak sempat buat apa-apa. Sistem keselamatan itu sepatutnya melindungi penumpang, tapi sebaliknya ia membahayakan,” jelasnya.

Kejadian berkenaan turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial dan pemilik EV, terutama berkaitan kebergantungan kepada sistem automatik yang tidak mempunyai amaran awal jika berlaku kerosakan.

Mengulas lanjut, Izwan berkata, pengalaman itu menjadi pengajaran besar kepadanya untuk lebih berhati-hati memilih kenderaan selepas ini.

“Buat masa ini, kami sedang meneliti pilihan kenderaan lain yang menawarkan ciri keselamatan lebih baik serta perkhidmatan selepas jualan yang lebih memuaskan. Saya juga tidak akan mudah terpengaruh dengan promosi yang viral di media sosial,” katanya.

Pihak BYD setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan. – Sinar Harian