Pemuda MCA pertikai keputusan kerajaan lulus peruntukan RM486,000 untuk Dr M ke Jepun

⋅
PEMUDA MCA hari ini mengkritik keputusan kerajaan Madani meluluskan perbelanjaan sehingga RM486,000 untuk membiayai lawatan dua hari bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun bagi menghadiri Forum Nikkei.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Lee Kok Seng, mempersoalkan logik di sebalik perbelanjaan tersebut dan turut mempersoalkan keutamaan kewangan kerajaan pada waktu rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi.
“Siapa sebenarnya yang sedang ikat perut? Rakyat, atau kamu yang kononnya pemimpin reformis?” katanya mengkiritik keputusan kerajaan tersebut.
Dia turut menegaskan bahawa purata pendapatan tahunan pekerja Malaysia adalah kurang daripada RM25,000 namun kerajaan sanggup memperuntukkan hampir setengah juta ringgit untuk menghantar tujuh orang ke luar negara hanya untuk dua hari.
Peruntukan yang dipertikaikan itu didedahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berkata kerajaan telah meluluskan dana tersebut selepas menerima permohonan rasmi daripada Mahathir.
“Terdapat peruntukan sedia ada untuk bekas perdana menteri memohon (bantuan kerajaan bagi urusan rasmi)… dan jika perdana menteri semasa meluluskan, kerajaan akan menanggung kos, termasuk untuk Mahathir yang baru-baru ini memohon untuk menghadiri persidangan Nikkei di Jepun.
“Beliau memohon, dan saya meluluskan. Saya percaya delegasi itu terdiri daripada kira-kira tujuh orang.
“Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa bayar untuk dia. Dia berhak memohon, tetapi keputusan terletak di tangan perdana menteri semasa… dan saya telah membuat keputusan untuk meluluskan RM486,000 itu untuk dia ke Jepun.
“Saya cuma tak mahu orang salah faham… saya tak mahu bersikap negatif. Walaupun beliau kerap mengkritik kerajaan, kita tetap luluskan permohonannya,” kata Anwar seperti dipetik oleh Bernama minggu lalu.
Sebagai respons, Lee berkata purata kos setiap individu berdasarkan jumlah keseluruhan peruntukan itu adalah RM69,000.
“Walaupun termasuk hari perjalanan, tiga malam penginapan hotel, tiket kelas perniagaan, elaun harian dan makan minum, masih tidak masuk akal untuk jumlah sebanyak itu.
“Adakah mereka menginap di suite presiden, makan tuna sirip biru dan minum wain merah dari tahun 1982? Kalau tidak, bagaimana boleh cecah RM69,000 seorang?” katanya lagi.
Lee membandingkan perkara ini dengan bagaimana peniaga kecil dipantau dengan ketat walaupun hanya memohon bantuan dalam jumlah yang kecil.
“Kalau seorang penjaja mohon geran permulaan RM5,000, mereka akan disoal dengan pelbagai soalan dan terpaksa tunggu enam bulan malah setahun. Tapi di sini, kerajaan boleh lulus ratusan ribu ringgit dengan mudah,” katanya.
Beliau turut mengkritik kerajaan kerana bercakap tentang penjimatan dan mengurangkan pembaziran untuk rakyat, tetapi pada masa yang sama meluluskan perbelanjaan besar untuk tokoh politik.
“Kita dah lihat terlalu banyak percanggahan: penjaja bergelut beli tong gas, petani beratur untuk subsidi diesel, tapi pemimpin melancong mewah ke luar negara — terbang kelas pertama, makan mewah — semuanya guna duit rakyat, dan masih dakwa keputusan itu ‘telah diteliti dengan wajar’,” katanya.
Lee menggesa kerajaan agar segera menghentikan perbelanjaan tidak bertanggungjawab seperti itu dengan menjalankan semakan semula menyeluruh terhadap dasar peruntukan lawatan ke luar negara, dan memberi tumpuan semula kepada keperluan rakyat biasa yang bergelut setiap hari.