Permohonan imuniti Anwar akan gagal seperti cubaan serupa Najib, kata PN | Madani News

Permohonan imuniti Anwar akan gagal seperti cubaan serupa Najib, kata PN

Permohonan imuniti Anwar akan gagal seperti cubaan serupa Najib, kata PN

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kekebalan bersyarat dalam saman sivil terhadapnya sebagai usaha sia-sia yang bakal menemui kegagalan, seperti cubaan serupa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes 1MDB.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019 jelas menetapkan bahawa seorang perdana menteri adalah pegawai awam dan tidak kebal daripada tindakan undang-undang, termasuk tindakan sivil berkait penyalahgunaan kuasa.

“Tiada seorang pun, termasuk perdana menteri, berada di atas undang-undang. Kedudukan tidak boleh dijadikan perisai terhadap tindakan undang-undang, khususnya yang bersifat peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahkamah Persekutuan pada 19 November 2019 memutuskan secara sebulat suara bahawa perdana menteri dan menteri kabinet boleh disaman atas dakwaan misfeasans, dalam kes melibatkan saman oleh Tony Pua terhadap Najib dan kerajaan.

Takiyuddin turut mengkritik kenyataan setiausaha politik kanan Anwar, Shamsul Iskandar Akin, yang menafikan Anwar memohon kekebalan mutlak, menyifatkannya sebagai mengelirukan.

“PN melihat kenyataan itu menyimpang kerana isu kekebalan merupakan salah satu persoalan utama yang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Anwar memfailkan permohonan merujuk lapan persoalan perlembagaan, termasuk isu kekebalan, ke Mahkamah Persekutuan dalam saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews