Rasuah Sabah: SPRM sahkan 2 ADUN dan seorang awam akan dihadap ke mahkamah

SPRM hari ini mengesahkan bahawa dua ADUN Sabah dan seorang orang awam akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat berhubung skandal rasuah yang menggegarkan negeri itu tahun lalu.
Kes itu melibatkan isu berkaitan pemberian lesen perlombongan mineral di Sabah, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dan kritikan hebat terhadap ketelusan pengurusan sumber negeri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa ketiga-tiga individu terbabit kini dalam proses pemanggilan bagi penahanan dan penetapan tarikh untuk didakwa di mahkamah.
“Ada dua suspek daripada kalangan Adun dan seorang awam. Ketika ini kami sedang dalam proses untuk melaksanakan tangkapan dan memaklumkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah,” katanya yang dipetik Sinar Harian semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Namun, menurut Azam, SPRM belum bersedia mengumumkan tarikh pendakwaan secara rasmi sehingga semua prosedur selesai dan kes itu akan dibawa ke muka pengadilan bulan ini.
Azam turut memaklumkan bahawa SPRM kini sedang menunggu tarikh perbicaraan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Sabah. Ketiga-tiga suspek, katanya, sedang melalui proses rakaman percakapan sebelum pendakwaan dibuat.
Mengulas mengenai ketulenan video tular yang mengaitkan seorang Adun dengan aktiviti rasuah, Azam berkata siasatan SPRM tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan visual tersebut.
“Saya tidak boleh ulas lanjut mengenai video itu kerana ia boleh menjadi subjudis. Tetapi SPRM tidak hanya bergantung kepada satu jenis bukti – sama ada video itu tulen atau tidak, kami juga menilai keterangan lain,” jelas beliau.
Beliau menekankan bahawa siasatan SPRM turut menilai keterangan individu terbabit dan bukan hanya bersandarkan kepada rakaman audio visual.
“Mesin mungkin mampu merakam, tetapi manusia yang sahkan kandungan. Justeru, penilaian bukti perlu menyeluruh dan teknikal,” tambah Azam.
Semalam, SPRM sekali lagi mengarahkan pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah lesen mineral untuk merakamkan kenyataannya.
Sebelum ini, ahli perniagaan itu mendedahkan beberapa klip video yang didakwa membabitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan beberapa Adun.
Pada 6 Jun lalu, Azam mengesahkan bahawa SPRM telah melengkapkan kertas siasatannya dan telah menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.
Sejak November tahun lalu, pemberi maklumat telah menndedahkan beberapa siri rakaman video dan mesej yang dikatakan membuktikan bahawa wakil rakyat Sabah, termasuk speaker DUN, terlibat dalam gejala rasuah.
Pemberi maklumat itu mendakwa dia sendiri memberi sogokan untuk mendapatkan lesen carigali mineral tetapi memutuskan untuk tampil selepas lesen itu dibatalkan.
Sebagai tindak balas, Hajiji menuduh pemberi maklumat bersubahat dengan pihak-pihak yang ingin menjejaskan kestabilan pentadbirannya.
Sementara itu, pemberi maklumat itu, berdepan dakwaan balas cubaan memonopoli sektor perlombongan Sabah melalui cara penipuan.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews