"Selamat Jahanam Liga Malaysia," - Hardi Jaafar belasah MFL, polisi 15 pemain import 'membunuh' pemain tempatan | Madani News

“Selamat Jahanam Liga Malaysia,” – Hardi Jaafar belasah MFL, polisi 15 pemain import ‘membunuh’ pemain tempatan

“Selamat Jahanam Liga Malaysia,” – Hardi Jaafar belasah MFL, polisi 15 pemain import ‘membunuh’ pemain tempatan

BEKAS bintang tengah Perak dan Selangor, Hardi Jaafar, meluahkan kekecewaan yang mendalam terhadap hala tuju Liga Malaysia yang menurutnya kini “dijajah” oleh lambakan pemain import hingga meminggirkan bakat tempatan.

Dalam satu hantaran lantang dan tidak berselindung di media sosial, Hardi menyifatkan polisi semasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membenarkan hingga 15 pemain import dalam satu pasukan sebagai satu bentuk sabotaj terhadap masa depan pemain tempatan.

“Adakah patut atau tidak setiap pasukan memerlukan khidmat 15 pemain import? Kepala bana korang. Ini semua buat pemain tempatan kena gali kubur sendiri dan tanam sendiri,” tegas Hardi dalam kenyataan penuh emosi.

Menurutnya, tindakan melonggarkan kouta pemain import hanya menguntungkan pasukan yang berduit, manakala pasukan bersejarah seperti Perak, Kedah dan Pahang kini bergelut untuk bertahan dalam liga kerana ketidakseimbangan kuasa kewangan.

“Korang sanggup tengok Perak, Kedah, dan Pahang tarik diri dari liga? Pasukan ini yang pernah mengangkat nama Malaysia dulu… Sekarang semua dilupakan hanya sebab nak kejar pencapaian satu dua pasukan yang gah di ACL,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Hardi tidak menolak kepentingan pencapaian antarabangsa, namun menegaskan pembangunan bola sepak negara tidak boleh digadai hanya demi kegemilangan jangka pendek.

“Liga Malaysia sekarang dah dijajah. Kalau setakat menang piala dalam liga yang dikuasai pemain luar, apa yang nak dibanggakan sangat? Pemain tempatan hanya jadi pelengkap jadual,” sinis Hardi.

Dengan nada sinikal yang tajam, beliau menamatkan kenyataan dengan mesej pedas kepada pihak berwajib:

“Selamat jahanam Liga Malaysia. Chowww…”

Hardi Jaafar merupakan antara pemain tengah terbaik Malaysia pada era 2000-an, dan pernah menjadi tonggak utama skuad Perak serta Selangor. Kenyataannya ini mencerminkan keresahan yang semakin membuak dalam kalangan pemerhati dan bekas pemain terhadap masa depan bola sepak tempatan yang kian terpinggir oleh dasar-dasar tidak seimbang.