UPSI perkasa pendidikan global, latih tenaga pengajar Uzbekistan

SERAMAI 22 pensyarah dan guru dari Uzbekistan menyertai program latihan profesional intensif anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang berlangsung selama dua minggu bermula 15 hingga 29 Mei di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor.
Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev menghargai komitmen UPSI dalam menganjurkan program latihan yang berimpak tinggi kepada warga pendidik Uzbekistan.

Menurut beliau, program itu memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi pedagogi menerusi pendekatan pengajaran inovatif, strategi penilaian berkesan serta penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah, seiring keperluan pendidikan global masa kini.
“Saya yakin ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini akan dapat diaplikasikan secara langsung di institusi masing-masing, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pengurusan akademik yang lebih sistematik.
“Program ini turut mencerminkan semangat kerjasama erat antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan tinggi. Ia membuka ruang strategik untuk pertukaran pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik antara pendidik kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis penutupan Program International Professional Development Training for Uzbekistan Teachers 2025 anjuran Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC) UPSI, baru-baru ini,
“Semoga hubungan dua hala ini dapat diperkukuh menerusi penganjuran program akademik bersama, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran tenaga pengajar dan pelajar pada masa akan datang,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa komited menjadi peneraju dalam membina jaringan pendidikan global, khususnya dengan negara-negara Asia Tengah seperti Uzbekistan.
“Program latihan profesional ini merupakan manifestasi kesungguhan UPSI dalam mendukung agenda pendidikan antarabangsa, di samping memperkukuh kapasiti pendidik dari luar negara menerusi pendekatan latihan berstruktur dan praktikal.
Tambah beliau, UPSI akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan pendidikan serantau dan antarabangsa, bagi meneraju kebitaraan pendidikan di Malaysia dan peneraju kecemerlangan pendidikan global.
“Kerjasama ini juga adalah hasil daripada pertemuan dan perbincangan strategik yang berlangsung dalam Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Uzbekistan pada 4 Februari lalu, di mana UPSI diberi kepercayaan untuk menerajui inisiatif latihan kepakaran dalam bidang pendidikan,” katanya
Sementara itu, dua orang wakil peserta, Dr. Sulaymanova Nilufar Jabbarovna dari Samarkand State Institute of Foreign Languages dan Dr. Abdullayeva Ulfatoy Turakhonovna dari Tashkent State Agrarian University turut menyatakan penghargaan atas peluang menyertai program berkenaan.
Menurut mereka, sepanjang tempoh latihan, peserta didedahkan kepada pendekatan semasa seperti pelaksanaan Pendidikan Berorientasikan Hasil (OBE), penggunaan teknologi digital dalam PdP serta kemahiran komunikasi yang relevan untuk konteks pengajaran global.
Latihan ini merangkumi sesi interaktif yang dikendalikan oleh pensyarah UPSI, perbincangan berkumpulan, dan penilaian kendiri. Peserta turut dibawa melawat ke Putrajaya dan Port Dickson sebagai sebahagian daripada komponen silang budaya yang memperkayakan pengalaman mereka di Malaysia.
Program latihan profesional ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara UPSI dan institusi pendidikan di Uzbekistan, malah menjadi platform kepada pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman yang saling menguntungkan kedua-dua pihak.
Hadir sama Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Pengarah IMAC UPSI, Profesor Dr. Ramlee Ismail; Timbalan 1 IMAC UPSI, Dr. Nor Fadila Kasim; Timbalan 2 IMAC UPSI, Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews