Anwar perlu akui tiada bukti untuk dakwa Dr M, kata PAS | Madani News

Anwar perlu akui tiada bukti untuk dakwa Dr M, kata PAS

Anwar perlu akui tiada bukti untuk dakwa Dr M, kata PAS

KETUA Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sahaja bahawa tiada bukti kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh.

Katanya, SPRM boleh sahaja bertindak terhadap bekas menteri Tun Daim Zainuddin, termasuk menyita aset-aset berkaitan walaupun selepas kematian allahyarham.

“Tun M tidak sama seperti sesetengah individu yang cuba lengahkan kes mahkamah, mohon imuniti dan sebagainya.

“Bahkan jika kerajaan bertindak dakwa Tun M, barangkali ‘orang tua’ itu tanpa sebarang takut akan melangkah ke kandang tertuduh pertahankan dirinya,” katanya.

Ahmad Fadhli bagaimanapun menegaskan dia bukan mahu mempertahankan Mahathir sangat tetapi “mual” dengan alasan Anwar.

“Turun sahajalah, selesai satu masalah besar negara,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Terdahulu, Anwar berkata kabinet memutuskan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usianya yang lanjut.

Anwar berkata demikian ketika menjawab Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tahun lalu, suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan agar siasatan jenayah dibuat terhadap Mahathir.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews