Hospital Rembau terkhilaf lantik ‘tauke’ vape sebagai ahli lembaga pelawat – Menteri

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui wujud kekhilafan dalam pelantikan seorang ahli perniagaan yang terlibat dengan industri vape sebagai sebagai ahli lembaga pelawat Hospital Rembau.
Dzulkefly berkata sebanyak 2,860 pencalonan diterima Kementerian Kesihatan (KKM) daripada pelbagai pihak termasuk hospital, exco kesihatan negeri dan pemimpin masyarakat untuk jawatan itu di 143 hospital di seluruh negara.
Katanya, setiap pencalonan yang diserahkan kepada beliau telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil negeri masing-masing.
“Namun dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut di mana latar belakang calon dilantik mempunyai elemen konflik kepentingan dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM.
“Untuk makluman, individu terlibat tidak lagi berkhidmat sebagai ahli lembaga pelawat Hospital Rembau. Saya akui kelemahan tersebut memberi impak yang besar ke atas persepsi umum terhadap KKM,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga memberi jaminan bahawa proses pelantikan ahli lembaga pelawat hospital di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dengan dasar kesihatan negara.
“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuhkan integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya.
Semalam, Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA) Adzwan Ab Manas meletak jawatan sebagai ahli lembaga pelawat Hospital Rembau susulan kritikan terhadap kelayakannya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas memikirkan tentang impak dan pandangan negatif yang akan diterima dengan pembabitannya dalam perniagaan vape.
“Bukan salah menteri kesihatan (Dzulkefly) apabila mengeluarkan surat pelantikan berkenaan tetapi lebih kepada kelemahan saya sendiri. Maka saya telahpun meletakkan jawatan itu demi kepentingan semua pihak,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, Adzwan memuat naik sepucuk surat pelantikan itu pada 23 Jun lalu dan ia turut ditandatangani oleh Dzulkefly.
Pelantikan itu menimbulkan kritikan kerana jawatan berkenaan berkait dengan kesihatan yang bercanggah dengan perniagaan vape dijalankan Adzwan. – MADANINEWS