Kejohanan Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia kembali lebih berprestij - Edisi ke-39 di Templer Park hujung bulan ini | Madani News

Kejohanan Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia kembali lebih berprestij – Edisi ke-39 di Templer Park hujung bulan ini

Kejohanan Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia kembali lebih berprestij – Edisi ke-39 di Templer Park hujung bulan ini

KEJOHANAN Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia kembali untuk edisi ke-39 dengan penganjuran lebih gah dan berimpak, berlangsung dari 28 hingga 31 Julai ini di Templer Park Country Club (TPCC), Selangor.

Acara tahunan berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS), dan kini diiktiraf sebagai kejohanan golf wanita amatur tertinggi rankingnya di Malaysia dengan penarafan Kategori C dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR) oleh The R\&A.

Sempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, kejohanan kali ini diberi suntikan baharu sebagai platform strategik memperkasa pembangunan bakat golf wanita di peringkat ASEAN, selain mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa.

TPCC, yang terkenal dengan kemudahan bertaraf dunia dan laluan kejohanan yang mencabar, sekali lagi menjadi tuan rumah dan rakan strategik, menegaskan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan golf wanita amatur di rantau ini.

Objektif Kejohanan:

  • Meningkatkan prestasi atlet tempatan dan serantau
  • Memberi pendedahan bertaraf antarabangsa kepada pemain muda
  • Memperkasa pelancongan sukan dan kerjasama serantau
  • Mengukuhkan hubungan rakyat ASEAN melalui diplomasi sukan

PENYERTAAN ANTARABANGSA

Setakat ini, lapan negara ASEAN telah mengesahkan penyertaan:

  • Brunei, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
  • Turut serta ialah negara bukan ASEAN seperti China, Chinese Taipei, Hong Kong, India, Pakistan dan Korea Selatan – menjadikan kejohanan ini semakin kompetitif dan bertaraf global.

Malaysia bakal diwakili oleh bintang muda berbakat seperti Wang Xin Yao, Pang Hee Jie dan Foong Zi Xuan yang akan menggalas cabaran negara.

EMPAT TROFI UTAMA DIPERTANDINGKAN:

  • Trofi DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan – Kategori Terbuka
  • Trofi Y.A.M. Tunku Tun Maimunah – Kategori Mid-Amatur
  • Trofi Maria Musa – Kategori Senior
  • Trofi Mary Williams – Kategori Berpasukan

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia – simbol sokongan kerajaan terhadap pembangunan sukan wanita dan solidariti ASEAN.

MALGA FOKUS BAKAT LUAR BANDAR & PEMAIN MUDA

Presiden MALGA, Tunku Puteri Tunku Puan Sri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar, menegaskan komitmen mereka menjadikan golf lebih inklusif, terutama kepada wanita luar bandar dan golongan muda.

“Kami mahu lebih ramai wanita muda dari sekolah luar bandar diberi peluang. Kami beri peralatan, pakaian, dan kalau rosak kami ganti,” ujar beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa MALGA kini sedang memperluas program pembangunan junior yang menyasarkan pemain seawal usia 7 hingga 18 tahun, dengan kerjasama KBS untuk memupuk penyertaan wanita dalam sukan golf.

Namun, beliau mengakui kos kekal menjadi cabaran utama.

“Di Malaysia, tiada kursus golf awam yang murah. Di luar negara, hanya sekitar 20 dolar sudah boleh bermain. Tapi di sini semuanya mahal. Akses jadi terhad.”

Justeru, program junior oleh MALGA, termasuk pemberian pakaian dan peralatan serta penggantian jika rosak, dianggap penting untuk meringankan beban dan memastikan bakat muda tidak terpinggir.

“Kami yang senior ini tak lama lagi. Generasi baharu perlu mula dari sekarang. Kami siapkan mereka untuk ambil alih,” tambah beliau penuh harapan.

Kejohanan Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia 2025 bukan sekadar persaingan, tetapi manifestasi solidariti serantau, pemerkasaan wanita dan legasi pembangunan sukan yang inklusif dan berterusan.