Lebih 2,000 polis dikerah kawal demo 'Turun Anwar' di KL 26 Julai ini | Madani News

Lebih 2,000 polis dikerah kawal demo ‘Turun Anwar’ di KL 26 Julai ini

Lebih 2,000 polis dikerah kawal demo ‘Turun Anwar’ di KL 26 Julai ini
PERHIMPUNAN Turun Anwar yang diadakan di Alor Setar, semalam. - Gambar FB Tuan Ibrahim

LEBIH 2,000 anggota polis akan dikerahkan bagi mengawal keselamatan semasa perhimpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Demonstrasi tersebut bertujuan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengesahkan bahawa penganjur perhimpunan telah menghantar notis rasmi kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Kita telah kenal pasti empat tempat yang mereka akan berkumpul dan seterusnya bergerak ke Dataran Merdeka iaitu di Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni.

“Setakat ini menurut unjuran Cawangan Khas PDRM, kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang dijangka hadir dalam perhimpunan tersebut,” katanya seperti dilapor Bernama.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Usuf, meskipun polis menyedari hak masyarakat untuk berhimpun secara aman, peserta dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang provokasi dan menjaga tingkah laku untuk menjamin keselamatan negara.

“Mereka mempunyai hak untuk berucap, bagaimanapun jika ada apa-apa kesalahan dari segi ucapan, contohnya provokasi atau perkara perkara yang membabitkan 3R, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Usuf berkata setakat ini tiada keperluan untuk melakukan penutupan jalan namun pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan bagi menilai situasi ketika hari perhimpunan.

Semalam, pembantu politik kepada Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan perhimpunan itu sebagai satu helah politik oleh ‘sekumpulan kecil’ yang mahu kekal relevan dalam arena politik.

Shamsul berkata demonstrasi yang dirancang di ibu negara itu bukanlah satu manifestasi sebenar rasa tidak puas hati rakyat seperti yang didakwa oleh penganjur himpunan itu.

“Protes ini bukan mengenai rakyat, sebaliknya ia adalah usaha sekumpulan kecil tertentu untuk mengubah keputusan yang gagal mereka capai menerusi peti undi,” katanya.