Pelajar mengaku salah tumbuk cikgu, hukuman akan dijatuhkan September ini | Madani News

Pelajar mengaku salah tumbuk cikgu, hukuman akan dijatuhkan September ini

Pelajar mengaku salah tumbuk cikgu, hukuman akan dijatuhkan September ini

REMAJA lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki, dalam kejadian tular di sebuah sekolah menengah di Kajang, kelmarin.

Tertuduh berusia 14 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut pertuduhan, pelajar peralihan tingkatan 1 berkenaan didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki berusia 29 tahun, dalam kejadian pada 4.48 petang, Isnin lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Menurut Harian Metro, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, manakala tertuduh diwakili peguam S Priyalatha.

Menurut laporan, pengamal media yang membuat liputan pertuduhan kes itu tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.

Ibu bapa remaja terbabit juga dilihat hadir di mahkamah bagi menghadiri prosiding pertuduhan itu.

Ibu remaja terbabit berusia 40-an berkata, tertuduh adalah anak tunggal dan tinggal bersamanya selepas berpisah dengan bekas suami.

Wanita itu memberitahu anaknya kesal dengan tindakan menumbuk guru dan ada memohon maaf kepadanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes berkenaan serius dan tular di media sosial.

Namun, peguam memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh adalah pesalah juvana masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Sept ini bagi laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan. – MADANI NEWS