SAINS mohon pelarasan kadar tarif air NS

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) telah mengemukakan permohonan cadangan pelarasan kadar tarif bekalan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menambah baik kualiti perkhidmatan bekalan air terawat di negeri ini.
Menurut kenyataan SAINS hari ini, permohonan tersebut dibuat susulan peningkatan kos operasi saban tahun dan keperluan mendesak untuk menaik taraf aset serta infrastruktur bekalan air yang semakin uzur.
“Cadangan pelarasan kadar tarif bekalan air ini bertujuan untuk menambah baik kualiti dan tahap perkhidmatan bekalan air terawat yang diberikan kepada penduduk di Negeri Sembilan walaupun SAINS berhadapan dengan pelbagai peningkatan kos pada saban tahun,” katanya.
SAINS turut memaklumkan bahawa SPAN telah menerima permohonan sama daripada sembilan operator bekalan air dari negeri-negeri lain.
Antara cabaran utama yang dihadapi SAINS ketika ini adalah penggunaan aset bekalan air yang telah lama, khususnya paip jenis simen asbestos yang kerap pecah dan menyebabkan gangguan bekalan.
Selain itu, peningkatan permintaan bekalan air berpunca daripada beberapa faktor termasuk pembangunan pesat di Seremban dan Port Dickson, pertambahan penduduk melebihi 700,000 orang serta pelaksanaan projek-projek industri di kawasan Lembah Wawasan Malaysia 2.0, Sendayan.
Tambahnya, perubahan iklim juga menyumbang kepada perubahan kualiti sumber air mentah yang memerlukan kos rawatan lebih tinggi untuk memastikan ia memenuhi piawaian air minum kebangsaan.
“Bagi mengatasi cabaran-cabaran tersebut, pihak SAINS telah merancang dan sedang melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang berterusan bagi menjamin kecukupan bekalan air untuk keperluan semasa dan seterusnya memenuhi permintaan pembangunan pelbagai sektor serta industri pada masa akan datang,” jelasnya.
Dalam hal ini, SAINS telah memperuntukkan hampir RM1.3 bilion bagi pelaksanaan projek di bawah Tempoh Pengoperasian 5 dan 6 (2021–2026) seperti yang digariskan dalam Pelan Perniagaan SAINS.
Antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan termasuklah menaik taraf loji rawatan air, pembinaan loji dan rumah pam baharu, program pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW), serta penggantian paip lama di seluruh negeri.
“Untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang telah dirancang, sumber kewangan yang mapan amatlah penting.
“Oleh itu, pelarasan kadar tarif bekalan air kali ini dilihat akan dapat memberi suntikan baru bagi meningkatkan keupayaan sistem dan aset-aset bekalan air dalam memastikan kelestarian bekalan air di Negeri Sembilan,” katanya.
Pelarasan kadar tarif baharu ini dijangka melibatkan semua kategori pelanggan merangkumi lebih 490,000 akaun.
Namun, SAINS masih mengekalkan subsidi kepada pelanggan domestik yang menggunakan air di bawah 20 meter padu sebulan kerana kadar baharu itu masih di bawah kos operasi sebenar.
Menurut SAINS, cadangan semakan semula kadar tarif berkenaan masih dalam penelitian pihak SPAN sebelum dimuktamadkan dan diangkat untuk kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Pihak SAINS amat mengharapkan kerjasama dan pemahaman semua pihak bahawa dengan pelarasan kadar tarif bekalan air baharu ini akan dapat menambahbaik perkhidmatan dan infrastruktur sistem bekalan air di negeri ini sekaligus memberi keselesaan serta jaminan kecukupan bekalan air pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan,” jelasnya. – MADANI NEWS