Semangat perpaduan jadi teras kekuatan sesebuah institusi, bukan hanya pencapaian individu – Menteri Pendidikan

KEKUATAN sesebuah institusi pendidikan tidak hanya bergantung kepada kemudahan fizikal mahupun pencapaian individu, sebaliknya terletak pada semangat kolektif, kesepaduan tindakan serta perpaduan warga institusi tersebut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan yang bersifat lestari hanya akan dapat dicapai sekiranya seluruh warga sesebuah universiti bergerak secara bersatu sebagai satu pasukan.
“Tiada kejayaan yang dapat bertahan lama tanpa perpaduan, kepercayaan bersama dan kesepaduan tindakan. Inilah kekuatan sebenar mana-mana institusi pendidikan,”
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat dalam Majlis Penutup Program Karisma Pemikir MADANI bersama warga kepimpinan tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Royale Chulan Damansara, baru-baru ini.
Program berkenaan menghimpunkan lebih 100 peserta, termasuk ahli Lembaga Pengarah universiti, barisan kepimpinan tertinggi, para pentadbir serta ketua-ketua fakulti dan jabatan.
Zambry turut menegaskan bahawa budaya toksik, perpecahan dalaman serta politik kampus yang bersifat melemahkan harus dihentikan segera kerana ia boleh menghakis integriti dan mengancam kelangsungan kecemerlangan universiti.
“Kita tidak mampu membiarkan racun ini meresap ke dalam akar sistem pentadbiran dan akademik. Dunia akademik sepatutnya menjadi medan intelektual yang subur, bukan pentas persengketaan yang memecah-belahkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan yang ditunjukkan oleh warga UPSI dalam memacu institusi itu ke tahap lebih tinggi dan progresif.
“Saya amat yakin dengan iltizam yang ditunjukkan hari ini, UPSI mampu melonjak bukan sahaja sebagai peneraju pendidikan negara, malah menjadi pencetus perubahan dalam landskap pendidikan tinggi yang lebih berdaya tahan,” ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, Zambry turut melancarkan buku bertajuk Isu dan Krisis Universiti terbitan Bahagian Komunikasi Korporat UPSI yang berperanan sebagai wadah pemikiran strategik serta cadangan penyelesaian terhadap pelbagai isu kritikal di universiti, termasuk aspek tadbir urus, komunikasi strategik dan pengurusan krisis yang berkesan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyambut baik penganjuran program berimpak tinggi itu yang menurutnya memberi ruang refleksi kepimpinan secara mendalam kepada barisan pengurusan tertinggi UPSI.
“Program ini menjadi medan penting untuk memperkukuh kefahaman terhadap aspirasi kerajaan MADANI serta menyatukan pemikiran strategik antara pimpinan universiti dalam menjayakan misi pendidikan tinggi negara.
Menurut beliau, amanat yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi memberi suntikan semangat dan arah tuju yang jelas kepada warga universiti.
“Penegasan tentang pentingnya perpaduan dan kesepaduan tindakan menjadi peringatan yang sangat relevan, khususnya dalam mengemudi cabaran pendidikan pasca-pandemik dan Revolusi Industri 4.0.
Md Amin turut menzahirkan keyakinan bahawa UPSI akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan tenaga pendidik berkualiti tinggi, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.
Siri Karisma Pemikir MADANI merupakan merupakan program Kerjasama antara Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperkasakan ilmu kenegaraan dan patriotisme. – MADANINEWS