SPRM mula siasat KPKT isu MyKiosk, aduan wujud amalan rasuah | Madani News

SPRM mula siasat KPKT isu MyKiosk, aduan wujud amalan rasuah

SPRM mula siasat KPKT isu MyKiosk, aduan wujud amalan rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap projek MyKiosk bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, berkata siasatan dilakukan susulan aduan daripada sebuah parti politik yang menyatakan kemungkinan wujud amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaannya.

Katanya, siasatan awal berhubung aduan itu dilakukan pihaknya dan pada masa sama Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga memulakan proses penyiasatan secara serentak.

“Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek ini.

“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, SPRM juga akan meneliti keseluruhan proses tatakelola jika wujud kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Akta SPRM 2009.

Mei lalu, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa siasatan ke atas projek bernilai RM250 juta itu, dengan Ketuanya Tan Jie Sen mendakwa hanya lebih separuh kios digunakan.

Sebelum ini, sayap itu mempersoalkan kenapa kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata angka RM25,000 mengelirukan kerana ia termasuk kos panel solar, kipas, dapur, pengangkutan dan pemasangan.

Nga berkata, dakwaan projek bawah kementeriannya itu menjadi ‘gajah putih’ tidak benar dan tidak berasas.

KPKT juga secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM, bagi memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pelaksanaan program itu.

MyKiosk adalah inisiatif KPKT, bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.

Hingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan. – MADANINEWS