TNB: Mahasiswa tidak terjejas dengan semakan tarif elektrik baharu

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa kebajikan mahasiswa dan isi rumah kekal menjadi keutamaan walaupun selepas pelaksanaan semakan tarif elektrik yang mula berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini, TNB menjelaskan bahawa sebahagian besar mahasiswa tergolong dalam kategori pengguna domestik – sama seperti lebih 23 juta isi rumah lain di seluruh negara – yang tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif.
“Ini bermakna, bil elektrik bagi kebanyakan pelajar yang menyewa di rumah kediaman atau tinggal di kolej kediaman tidak akan mengalami sebarang kenaikan, tertakluk kepada corak penggunaan mereka,” menurut kenyataan itu.
TNB turut menjelaskan bahawa pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt-jam (kWj) sebulan layak menerima Insentif Cekap Tenaga, yang bukan sahaja mengurangkan bil elektrik tetapi juga menggalakkan amalan penjimatan tenaga dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, skim Masa Penggunaan (Time of Use – ToU) turut ditawarkan kepada pengguna bagi membolehkan penjimatan melalui penggunaan elektrik di luar waktu puncak, khususnya bagi peralatan seperti mesin basuh, penghawa dingin dan komputer.
Dalam konteks pendidikan, TNB memaklumkan bahawa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain turut menerima rebat 10%, sejajar dengan usaha membantu pengurusan kos operasi dan mengelakkan implikasi kewangan terhadap pelajar.
TNB juga menekankan bahawa golongan mahasiswa dari keluarga miskin tegar yang tersenarai dalam sistem e-Kasih boleh menerima manfaat secara tidak langsung menerusi Program Rebat Bil Elektrik RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR).
“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen TNB untuk memastikan kebajikan rakyat, termasuk pelajar, sentiasa terbela seiring usaha pembaharuan sistem tenaga secara mampan dan bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu lagi.
Maklumat lanjut mengenai semakan tarif dan panduan penjimatan tenaga boleh didapati di laman sesawang www.mytnb.com.my/tariff atau dengan menghubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454.