Zaid cadang usul tak percaya PM - "tubuh RCI kurang berkesan kerana kebiasaannya tiada tindakan berkesan" | Madani News

Zaid cadang usul tak percaya PM – “tubuh RCI kurang berkesan kerana kebiasaannya tiada tindakan berkesan”

Zaid cadang usul tak percaya PM – “tubuh RCI kurang berkesan kerana kebiasaannya tiada tindakan berkesan”

BEKAS menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim menganggap cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti isu pelantikan hakim ketika ini bukan pilihan yang terbaik.

Hal itu kerana, katanya, tiada langkah yang benar-benar berkesan diambil di sebalik dapatan daripada beberapa RCI sebelum ini.

Menyatakan pandangannya melalui platform X, Zaid berterima kasih kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang hari ini membangkitkan isu pelantikan hakim-hakim kanan serta mencadangkan penubuhan RCI.

Pendirian Rafizi itu turut disokong lapan ahli parlimen PKR yang lain.

“Walaupun RCI sepatutnya menjadi instrumen mencari kebenaran dan reformasi institusi, di sini mereka sering berfungsi sebagai teater politik — adang asap (smoke screen) untuk tidak bertindak, pemesongan atau pelengahan.

“Ambil RCI di Batu Puteh sebagai contoh: diumumkan secara megah, kemudian dibiarkan ‘mereput’. Dapatan daripada penemuan itu tidak diterbitkan, tiada susulan, tiada akauntabiliti.

“Begitu juga RCI Wang Kelian hingga pelantikan kehakiman menjadi catatan kaki yang dilupakan,” dakwa Zaid, memetik laporan Malaysiakini.

Laporan RCI mengenai isu Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Dis lalu antara lain menyatakan bahawa Malaysia mempunyai peluang untuk membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyerahkan kedaulatannya kepada Singapura.

Sementara itu, RCI mengenai kubur besar Wang Kelian ditubuhkan pada 2019 dan dapatan mereka didedahkan pada 2022.

Zaid hari ini mendakwa ada “corak yang jelas” perdana menteri akan mengawal syarat untuk melantik pesuruhjaya RCI dengan biasanya melibatkan calon yang “selamat dari segi politik” dan kemudian memilih cadangan yang ada untuk diabaikan.

Justeru, dakwa Zaid, RCI di Malaysia bukanlah untuk mendapatkan keadilan dan ia tidak berkesan.

“Saya lebih suka undi tidak percaya atau usul untuk mengecam perdana menteri sebagai mekanisme demokrasi yang lebih baik.

“Walaupun akan gagal nanti, ia dapat memaksa perdebatan awam di parlimen, menunjukkan perdana menteri beliau tidak boleh disentuh dan menghantar mesej kepada rakyat bahawa ada seseorang masih sanggup melawan.

“Ia boleh membendung percaturan dunia yang tidak berkesudahan dan diplomasi sia-sia.

“Tak ada apa-apa yang dapat membuatkan seseorang perdana menteri benar-benar mengambil serius tentang hal ehwal dalam negara selain berdepan kemungkinan hilang jawatan,” katanya. – MADANINEWS