Akhirnya MIC Kedah, Pulau Pinang hamburkan perasaan terbuku | Madani News

Akhirnya MIC Kedah, Pulau Pinang hamburkan perasaan terbuku

Akhirnya MIC Kedah, Pulau Pinang hamburkan perasaan terbuku
Presiden MIC, SA Vigneswaran (dua dari kiri) bersama Pengerusi MIC Kedah SK Suresh (kiri sekali) dan Ahli Parlimen Tapah, M.Saravanan (dua dari kanan) ketika Mesyuarat Agung Tahunan MIC di Sungai Petani, semalam.

SEMALAM sedikit kejutan berlaku di Kedah, apabila MIC negeri itu meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada Barisan Nasional (BN).

 Walaupun Pengerusi MIC Kedah, SK Sureh menyatakan keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepemimpinan pusat namun apa yang dihamburkan oleh beliau ketika Mesyuarat Agung Tahunan Peringkat Negeri Kedah, di Sungai Petani itu menunjukkan itulah perasaan yang terbuku selama ini.

Mungkin perasaan itu bukan sahaja ada dalam kalangan pemimpin MIC Kedah atau MIC Pulau Pinang yang menyokong pendirian MIC Kedah itu tetapi juga hampir sebahagian besar ahli-ahli MIC.

  Sureh menyatakan pendirian MIC Kedah itu di hadapan Presiden MIC, SA Vigneswaran yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan.

“Kami telah menyampaikan usul ini kepada presiden, tetapi keputusan akhir akan dibuat oleh kepimpinan parti,” kata Suresh.

 Sama ada MIC Pusat akan menerima atau tidak usul tersebut sama-sama kita tengok nanti tetapi apa yang menarik perhatian kenyataan Sureh bahawa rakyat Kedah, khususnya masyarakat India, mula berasa kecewa dengan Kerajaan Persekutuan sekarang, malah ada yang menyesal mengundi Pakatan Harapan. 

‘’Sebagai pemimpin tempatan kami perlu bersuara bagi pihak rakyat. Kami tidak perlu memaklumkan UMNO mengenai  perkara ini, kerana ketika UMNO bekerjasama dengan Pas dahulu, mereka pun tidak memberitahu kami. Sekarang kami mahu bekerjasama dengan PN, ini keputusan kami sendiri,” tegasnya. 

Suresh mendakwa  MIC tidak boleh terus berdiam diri terhadap dakwaan pengabaian hak masyarakat India — termasuk isu pendidikan, kuil Hindu, dan pelbagai perkara lain – sejak penubuhan kerajaan perpaduan.

Beliau juga menegaskan bahawa jika tindakan mempertahankan hak masyarakat India bermakna MIC perlu keluar BN, mereka bersedia melakukannya, namun keputusan itu tetap perlu datang daripada kepimpinan pusat.

 Walaupun Vigneswaran tidak memberi sebarang komen berhubung kenyataan Sureh itu tetapi jika diimbas kembali perkembangan berkaitan kedudukan MIC dalam BN, Vigneswaran sebelum ini pernah menyatakan,  MIC sedia untuk membincang dengan mana-mana parti untuk menjamin masa depan masyarakat India pada masa depan disambut oleh sebahagian besar komuniti India.

 Bukan rahsia lagi, MIC kecewa apabila  walaupun MIC bersama BN menubuhkan kerajaan perpaduan, parti itu tidak diberi peranan dalam kerajaan. MIC dilihat ketinggalan dalam pentadbiran menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli.

 Dengan memiliki satu kerusi Parlimen dan merupakan parti India terbesar, MIC patut diberi jawatan dalam Kabinet, tetapi itu tidak berlaku, sebaliknya UMNO yang memiliki 26 kerusi menguasai  tujuh jawatan menteri dan  enam jawatan timbalan menteri.

Sepatutnya MIC yang setia bersama BN dan bersedia mengikut apa sahaja perancangan politik pemimpin UMNO termasuk menyetujui langkah bergabung dengan PH bagi menubuhkan kerajaan, UMNO sepatutnya menyerahkan salah satu jawatan Kabinet kepada MIC.

 Mungkin pemimpin UMNO memberi alasan bahawa pelantikan Kabinet adalah prerogatif (hak mutlak) Perdana Menteri atau mereka sudah mencuba tetapi jika pemimpin UMNO bersungguh-sungguh mahukan ahli Parlimen MIC berada dalam Kabinet sudah pasti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan keberatan. Bukankah pemimpin UMNO sebelum ini berkata, walaupun tidak menang banyak kerusi tetapi UMNO memainkan peranan penting bagi penubuhan Kerajaan Perpaduan? Tak kan Anwar yang sentiasa terbuka berunding akan menolaknya?

 Kini pemimpin-pemimpin MIC mula melepaskan apa yang terbuku di hati. Mahu bercakap dalam Majlis Tertinggi BN pun, mesyuarat jarang diadakan. Kalau dapat bercakap dengan pemimpin UMNO pun, banyak pula alasannya, jadi pilihan yang ada ialah meluahkannya secara terbuka di mesyuarat agung tahunan.

 Jelaslah pemimpin MIC merasakan daripada ‘melukut di tepi gantang’ lebih baik meneroka kerjasama baru dengan parti lain demi masa depan politik MIC dan perjuangan untuk kaum India.

 Sama ada kepemimpinan pusat MIC akan menerima usul MIC Kedah atau usul yang sama dari negeri-negeri lain, sama-samalah kita lihat nanti.

 Tetapi yang pasti hubungan antara MIC dengan kepemimpinan BN ibarat ‘retak menanti belah’, kalau ibarat sebiji telur, retaknya sudah melelehkan cecair jernih di dalamnya, tidak mustahil yang retak terus terbelah dan hancur. Riak-riak ke arah itu semakin jelas, khabarnya dalam MCA – satu lagi parti komponen pun sudah ada, betulkah?