Anak Rafizi diserang, suntik dengan jarum oleh lelaki bertutup muka | Madani News

Anak Rafizi diserang, suntik dengan jarum oleh lelaki bertutup muka

Anak Rafizi diserang, suntik dengan jarum oleh lelaki bertutup muka
Rafizi Ramli

BEKAS Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendedahkan anak lelakinya berusia 12 tahun telah diserang dengan disuntik jarum suntikan oleh seorang individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya tengah hari tadi.

Menurut Rafizi, detik serangan berlaku pada kira-kira jam 1:45 petang ketika beliau, isteri dan anaknya bersiap untuk menaiki kereta. “Tiba-tiba seorang lelaki mencuit anak saya dan menusuknya dengan jarum suntikan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dua orang penunggang motosikal yang mengenakan pakaian serba hitam dan topi keledar penuh dilihat mengikuti kereta keluarga beliau sebelum serangan berlaku.

Anaknya dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan, manakala pihak polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Rafizi menyifatkan insiden ini sebagai amaran berbentuk politik untuk menghentikan suara kritikalnya.

“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti itu.

“Saya percaya serangan itu satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej dan bertanya khabar.

“Insya-Allah, sementara saya mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan kejadian serangan fizikal terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya jam 2 petang tadi.

Mangsa berusia 12 tahun itu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. – MADANI NEWS