Anwar tiba di Tianjin, sertai Sidang Kemuncak SCO atas jemputan Xi Jinping | Madani News

Anwar tiba di Tianjin, sertai Sidang Kemuncak SCO atas jemputan Xi Jinping

Anwar tiba di Tianjin, sertai Sidang Kemuncak SCO atas jemputan Xi Jinping
Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bianhai Tianjin untuk memulakan lawatan kerja empat hari ke China. 31 Ogos 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

TIANJIN, 31 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Tianjin petang ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China serta peranan ASEAN di rantau ini.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin Binhai pada 5.27 petang, disambut dengan permaidani merah dan kawalan kehormatan.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Menteri Pertanian China, Han Jun; Pengerusi CPPCC Tianjin, Wang Chang Song; serta Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, lapor Bernama.

Anwar berada di China atas jemputan Presiden Xi Jinping, yang menganjurkan makan malam gala persidangan malam ini di Pusat Konvensyen Meijiang Tianjin.

Esok, Anwar dijadual menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak SCO Plus sebagai Pengerusi ASEAN, menekankan usaha menjadikan ASEAN-China sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang dinamik. Beliau juga akan memberi syarahan umum bertajuk “Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia” di Universiti Tianjin.

Pada Selasa, Anwar akan ke Beijing untuk kunjungan hormat ke atas Presiden Xi di Dewan Besar Rakyat, diikuti mesyuarat dua hala dengan Premier China, Li Qiang, yang turut meraikan beliau pada jamuan rasmi.

Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Victory Day Parade sempena ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, selain bertemu pelabur utama dan pengasas syarikat multinasional China.

Lawatan empat hari ini merupakan kali keempat Anwar ke China sejak November 2022, mencerminkan eratnya hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1974. China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia 16 tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan RM484.12 bilion pada 2024.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. – MADANI NEWS