Khir Toyo sah sertai Bersatu. "UMNO akan terus jadi parti suplemen jika terus menyorok di bawah ketiak PH" | Madani News

Khir Toyo sah sertai Bersatu. “UMNO akan terus jadi parti suplemen jika terus menyorok di bawah ketiak PH”

Khir Toyo sah sertai Bersatu. “UMNO akan terus jadi parti suplemen jika terus menyorok di bawah ketiak PH”
Gambar Internet

BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo telah menyertai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). kata Ketua Bersatu Melaka Rahim Tamby Chik.

Menurut portal FMT, bekas ketua menteri Melaka itu mendedahkannya melalui satu hantaran Facebook yang turut disertakan dengan gambar mereka makan tengah hari bersama beberapa individu lain.

“Khir baharu saja menganggotai Bersatu dan berhasrat untuk berkongsi dan bertukar fikiran dengan pemimpin kanan demi memperkasakan keberkesanan jentera pilihan raya Bersatu dalam menghadapi PRU,” katanya.

Khir juga adalah juga bekas pengerusi Umno dan BN Selangor yang sebelum ini masih aktif bersama parti itu.

Bekas Adun Sungai Panjang selama tiga penggal itu, pernah dipenjara setahun kerana salah guna kuasa pada 2015 dan dibebaskan dengan parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan.

Sementara itu, Khir Toyo sendiri mengesahkan beliau kini merupakan ahli BERSATU menerusi satu kenyataan peribadi yang dimuat naik di media sosialnya.

Pengakuan itu sekali gus menjawab persoalan mengenai hala tuju politik beliau selepas sekian lama menjauhkan diri daripada arena politik nasional. Dalam kenyataannya, Dr Khir menyifatkan keputusan menyertai BERSATU dibuat dengan penuh kesedaran bahawa akan timbul pelbagai tohmahan dan kritikan terhadap dirinya.

“Saya sedar akan banyak tohmahan kepada saya bila tersebar berita bahawa saya telah memilih untuk menjadi ahli parti BERSATU. Bagi mereka yang tidak senang dengan saya, pasti berjuta perkara memburukkan dan mengutuk saya akan dihidang di semua media,” katanya.

Dr Khir berkata beliau tidak menyertai BERSATU kerana mengejar jawatan, sebaliknya mahu membantu memperbetulkan naratif politik orang Melayu yang menurutnya semakin tersasar.

“Saya tidak bercita-cita untuk menjadi pemimpin besar lagi. Tetapi saya tidak mahu berjuang dalam parti yang hanya sekadar parti ‘supplement’ kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kejujuran pemimpin-pemimpin BERSATU yang dilihat masih fokus kepada agenda membela nasib orang Melayu dan membina kekuatan politik tersendiri.

“BERSATU akan bertanding dengan jumlah kerusi yang mencukupi untuk mereka membentuk kerajaan sama ada di Selangor mahupun di peringkat negara,” katanya lagi.

Dalam kenyataan yang bernada reflektif itu, Dr Khir turut menzahirkan penghargaan terhadap UMNO dan Tun Dr Mahathir Mohamad atas peluang yang pernah diberikan kepadanya dahulu, namun kini memilih wadah perjuangan yang baharu.

“Kepada pimpinan BERSATU, saya orang kecil, tidak ada cita-cita besar. Izinkan saya menghabiskan sisa-sisa kudrat yang ada untuk pastikan pimpinan negara dikuasai oleh pemimpin Melayu yang mampu memberi keadilan kepada semua seperti yang pernah UMNO lahirkan dulu.”

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews