Bendera terbalik: Akmal Saleh mengaku tidak bersalah timbul kegentaran awam di mahkamah

KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran terhadap keselamatan awam menerusi akaun media sosial beliau pada 11 Ogos lalu.
Dr Muhamad Akmal, 37 tahun, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Akmal didakwa telah memuat naik kenyataan di laman Facebook ‘Akmal Saleh’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam serta boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kesalahan didakwa dilakukan sekitar jam 3 petang pada 11 Ogos, lapor Astro Awani
Bagi kesalahan itu, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Mohd Nordin Ismail manakala Dr Muhamad Akmal diwakili lapan peguam diketuai Aizat Azam.
Semasa prosiding, pihak pendakwa raya mencadangkan jaminan diberikan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun pihak pembelaan memohon agar anak guamnya diberikan jaminan sebanyak RM2,000 atas alasan beliau perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil dan bersekolah.
Katanya, Dr Muhamad Akmal juga perlu melaksanakan tugas rasminya sebagai wakil rakyat, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, serta menjalankan tugas Exco di Melaka, selain tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Mahkamah kemudian membenarkan beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 22 September depan.
Terdahulu, Muhamad Akmal tiba jam 8.25 pagi sambil diiringi isteri, Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus, ahli keluarga serta ratusan penyokong dari seluruh negara.
Beliau yang berbaju kurta putih kelihatan tenang dan melaungkan ‘lawan tetap lawan’ ketika disapa petugas media.
Pada 14 Ogos lepas, beliau mengetuai perarakan 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas di Kepala Batas susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di situ.
Tindakan tersebut mencetuskan kecaman pelbagai pihak khususnya pemimpin parti politik daripada DAP
Susulan itu, Dr Muhamad Akmal dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu lalu berhubung perhimpunan berkenaan.