Hasil proses bedah siasat jenazah Zara Qairina dinantikan, solidariti orang ramai meningkat

PROSES bedah siasat jenazah Allayarham Zara Qairina Mahathir difahamkan selesai selepas lapan jam prosedur berkenaan dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQEI), Kota Kinabalu, hari ini.
Astro Awani melaporkan, sumber memberitahu proses tersebut tamat sekitar jam 8 malam ini dan jenazah akan dikebumikan semula di daerah Sipitang sejurus proses tindakan lanjut selesai.
Sebelum ini Peguam kepada keluarga Allayharham, Hamid Ismail berkata, ahli keluarga akan dimaklumkan mengenai penemuan yang diperoleh.
“Yang saya dimaklumkan, Dr Jesse Hiu (Pakar Patologi) akan memaklumkan kepada keluarga mengenai penemuan awal berdasarkan siasatan. Tetapi sama ada jenayah atau tidak, itu mungkin akan dinyatakan dalam laporan bedah siasat bertulis yang lebih rapi dan teliti.
“Hasil bedah siasat rasmi akan dikeluarkan dan mereka akan menyerahkannya kepada kami,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata, terdapat dua proses CT scan dilakukan iaitu sebelum jenazah dikuburkan dan selepas digali semula semalam.
“Semalam CT scan telah dibuat. Jadi kedua-dua laporan ini akan dihantar untuk dibandingkan bagi memastikan ketelusan, dihantar kepada seorang pakar di Semenanjung,” katanya.
Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Penggalian semula kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, semalam mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada jam 7.31 malam selepas dimulakan pada jam 6.04 petang.
Kes Allahyarham Zara Qairina telah mencetuskan kebangkitan orang ramai yang mendesak supaya siasatan telus dilakukan bagi mengetahui punca kematian pelajar berkenaan.
Hari ini kira-kira 5,000 penduduk dari sekitar daerah Sipitang selain Brunei, Sarawak dan Labuan membanjiri Esplanade Sipitang bagi menyertai Perhimpunan Aman Solidariti untuk Zara Qairina
Selain memakai pakaian berwarna putih, peserta yang hadir turut membawa kain rentang, bendera negeri dan juga plakad dengan tanda pagar #justice4zara.
Wakil penganjur, Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid yang ditemui berkata jumlah peserta yang datang pada program itu melebihi sasaran pihaknya meskipun cuaca kurang baik.
“Hari ini kami mengadakan Perhimpunan Aman Solidariti untuk Allahyarham Zara Qairina di Sipitang iaitu tempat kelahiran dan beliau membesar. Kita anggarkan kehadiran kira-kira 5,000 orang dari seluruh daerah dan Sabah selain Brunei, Sarawak dan juga Labuan.
“Ini melebihi daripada sasaran kami dimana kami hanya menganggarkan lebih kurang sekitar 2,000 ke 3,000 sahaja yang akan hadir menyertai perhimpunan ini.
“Kami mengharapkan satu keputusan yang telus memandangkan kita semua maklum sekarang bedah siasat sedang dilakukan. Kami hanya mahukan keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina,” katanya lapor Berita Harian.