Jiwa merdeka, santuni rakyat inspirasi daripada buku Pulau Tiga: Khazanah Melayu Perak


ARTIKEL KHAS SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA
Sepanjang bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia tahun ini, saya menulis rencana khas sehingga 16 September berkisar cerita nasionalisme sama ada sebelum negara merdeka, mahupun pasca merdeka.
Rencana berkaitan kemerdekaan ini yang disiarkan pada setiap Rabu mengenai semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia manakala kolum Randau pada setiap Ahad memaparkan ulasan berkaitan isu-isu semasa.
Untuk artikel pertama berkaitan kemerdekaan, saya memaparkan mengenai buku berjudul Pulau Tiga: Khazanah Melayu Perak yang diterbit secara bersama oleh Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).
Buku tersebut dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Rustam, pada 23 Disember 2023, di Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar Perak Tun Ramli Ngah Talib yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, baru-baru ini. Tun Ramli pernah dibesarkan di Kampung Toh Paduka Raja, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.
Saya mendapat ilham menerbitkan buku ini sebagai salah satu syarat aktiviti program Jalinan Masyarakat, mahasiswa Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 2019 untuk membolehkan universiti berkenaan menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat untuk tempoh jangka panjang.

bersama oleh Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan IGROW.
Kajian dan penulisan buku tersebut melibatkan saya dan lapan pensyarah UM . Buku ini berbentuk ‘semi akademik’ yang sarat dengan motivasi bagaimana mengekalkan serta melestarikan jati diri masyarakat tempatan terhadap sejarah dan warisan yang berusia lebih 500 tahun secara konsisten
Menariknya, sejarah dan warisan mukim Pulau Tiga berjaya dipertahankan dan kembali segar apabila kampung tersebut dibangunkan semula secara generasi baru oleh IGROW dalam program NBOS, My Kampung, My Future, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013.
Selain nilai budaya, fokus utama dalam pembangunan sosioekonomi telah diperakukan antara program luar bandar yang berjaya serta dijadikan model di dalam dan luar negara. Banyak anugerah diterima sebagai bukti kejayaannya.
Namun apakah signifikannya buku tersebut dalam konteks pengisian dan penghayatan sambutan Hari Kebangsaan negara bulan ini dan Hari Malaysia pada bulan depan?
Banyak sekali nilai-nilai penting nasionalisme dalam buku ini yang berupaya membina jati diri dalam kalangan masyarakat.

Buku ini menerapkan kefahaman mengenai konsep negara beraja dan kesinambungan legasinya sama ada dalam bentuk pemerintahan, sosioekonomi dan budaya yang masih relevan serta wujud hingga kini.
Inilah yang menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan dalam menyemai prinsip Rukun Negara seperti yang diterajui oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Inspirasi kepada masyarakat pula ialah bagaimana usaha memelihara dan mengembangkan potensi yang ada untuk membentuk legasi generasi baru yang boleh dimanfaatkan secara turun temurun serta bersifat ‘tahan diuji zaman’. Ia adalah satu kejayaan yang tidak mustahil dicapai jika kita yakin, bijak dan berani meneroka sumber yang ada.
Model pembangunan legasi warisan yang berkesinambungan ini terbukti berjaya menjadi model pelaksanaan program basmi kemiskinan, pembangunan sekuriti makanan dan TVET generasi muda hampir seluruh negara ketika ini yang dijalankan oleh IGROW sebagai rakan strategik kerajaan.
Malah sebelum ini Australia, Thailand dan Vietnam pernah menjalinkan kerjasama dengan IGROW dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Pada peringkat ASEAN pula, Pulau Tiga pernah menghimpunkan media ASEAN ketika musim durian tahun 2017 hingga mempopularkan Kampung Gajah sebagai destinasi durian utama negara.
Pada peringkat pentadbiran kerajaan pula, buku ini boleh dijadikan rujukan kepada proses melaksanakan dasar kerajaan khususnya pembangunan luar bandar dan wilayah dengan mempelajari ‘kunci kejayaan’ bagi mengelakkan kerajaan mengulangi kesilapan yang menggagalkan sesuatu dasar.
Bagi saya usaha menulis dan memanfaatkan buku seperti ini sangat perlu dalam usaha kita meningkatkan ilmu pengetahuan, meneladani pengalaman silam dan membina motivasi untuk memajukan diri, masyarakat, agama dan negara.
Lebih menarik buku ini juga ditulis oleh pemegang taruh anak jati kampung seperti saya yang boleh dianggap lebih jujur mengupas pengalaman melihat kejayaan dan kegagalan sesebuah dasar kerajaan dengan menulis di luar daripada formaliti dan birokrasi bahan terbitan kerajaan seperti lazimnya.
Apa pun, sejak dilancarkan, buku ini telah dibaca dan turut dijadikan modul inspirasi membangunkan diri dan masyarakat. Antara yang menerima buku ini baru-baru ini adalah Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.
Namun, dalam ramai penerima buku berkenaan baru-baru ini, saya tertarik dengan respon segera Ketua Eksekutif Perbadanan Labuan iaitu Mohd Sukuran bin Taib dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Beliau berkata, ‘’Boleh tak you bangunkan Pulau Labuan ini macam Pulau Tiga seperti dalam buku ini?”
Maka jawapannya, “InshaAllah boleh!” dengan berinspirasikan buku Pulau Tiga: Khazanah Melayu Perak.
Dalam konteks hari ini, buku tersebut adalah lambang perjuangan kemerdekaan, mengisi kemerdekaan, membebaskan diri daripada jiwa terjajah dan tugas kita menyantuni rakyat dengan berjaya sepanjang zaman.
Malaysia Madani : Jiwa Merdeka (tema Hari Kebangsaan tahun 2024)
Malaysia Madani : Rakyat Disantuni (tema hari kebangsaan tahun 2025)
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi