‘’Kalaupun cinta PMX…mahu tunjuk kesetiaan..cukup ucapan sendiri’’ – Rafizi kritik Fadhlina

FAKTANYA tindakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengajak pelajar sekolah mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mencetuskan kritikan dalam media sosial.
Pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen dan hari ini, Fadhlina dikritik oleh rakannya sendiri dalam PKR iaitu bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan melalui rakaman video, Rafizi menegaskan bahawa sekolah sepatutnya menjadi ruang berkecuali dengan tumpuan kepada penyampaian ilmu, pembinaan nilai dan pembentukan sahsiah, bukannya platform untuk luahan politik.
“Sekolah adalah tempat yang sangat penting untuk kita. Sekolah bukan sahaja memberi ilmu, ia tempat memupuk budaya dan sikap. Kalau ya pun dia sangat cintakan PMX dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan daripada dia sendiri, tak perlu libatkan murid-murid,” kata beliau.
Melalui video yang tular, ia menunjukkan Fadhlina mengajak murid-murid mengucapkan “Happy Birthday PMX, We Love You” kepada Perdana Menteri yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 10 Ogos.
Mengulas lanjut, Rafizi memberi amaran bahawa tindakan seperti itu berisiko mencipta duluan yang tidak sihat kepada menteri pendidikan pada masa depan, yang mungkin turut meminta pelajar menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang kepada pemimpin politik semasa.
“Bila dia buat begitu, nanti di masa akan datang tak salahlah menteri-menteri pendidikan akan datang meminta murid-murid, pelajar dan siswa menyatakan taat setia dan kecintaan kepada pemimpin lain,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Panda berkata dia sangat berhati-hati dalam mencampuradukkan politik dengan pendidikan.
“Sebaik mungkin saya bantu permohonan sekolah-sekolah di Pandan. Tapi saya hanya hadir ke dalam kawasan sekolah sekali sahaja, itu pun sebab dipujuk sangat oleh guru besar. Sebabnya ialah saya tidak mahu campur adukkan politik dengan sekolah dan anak-anak kita,” katanya sambil mengakui kritikannya kali ini lebih sukar kerana ia melibatkan rakan parti sendiri.
Rafizi berkata kalau orang lain yang melakukan perbuatan itu beliau akan berasa marah.
“Tapi kini bila menteri pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu. Lepas ni orang PKR tak boleh kritik dah kalau ada ahli politik masuk sekolah dengan mesej politik,” katanya lagi.